Tuesday 4 December 2012

...........pada lontaran kata dan lantunan bicaramu

Pendekatan masyarakat Melayu dalam membuat teguran kepada tingkah laku devian dalam masyarakat biasanya dibuat secara halus dan "berlapik' atau "beralas" .Norma kehidupan yang menyimpang daripada kelaziman dikritik dengan menggunakan prosa atau puisi tradisional. Misalnya kalau kita meneliti Seloka Emak Si Randang jelas ada pengajaran yang tersirat di dalamnya:

                            Baik budi Emak si Randang
                            Dagang lalu ditanakkan
                           Tiada kayu rumah diruntuhkan
                           Anak pulang kelaparan
                           Anak dipangku diletakkan
                           Kera di hutan disusui
                           Dagang pergi awak terhutang
                           Beras habis padi tak jadi

          Seloka ini jelas menempelak mereka yang berbudi kepada orang lain sehingga mengabaikan keperluan diri dan keluarga. Rumus yang boleh kita peroleh daripada seloka ini ialah buat baik berpada-pada,buat jahat jangan sekali (melakukan kebaikan janganlah berlebih-lebih, tetapi perbuatan jahat jangan sekali-kali dilakukan). Sekiranya dikaji secara mendalam, setiap warisan prosa dan puisi lama terselit unsur didaktik yang mengajar manusia dalam tindakan dan semasa mengendalikan kehidupan termasuk interaksi sosial dengan orang lain.

          Peribahasa Melayu banyak memperkatakan tentang MULUT, LIDAH dan TUTUR KATA. Atas kesedaran bahana yang boleh menimpa masyarakat akibat tersalah kata, banyak peribahasa yang boleh dikaitkan dengannya. Antara peribahasa yang meminta kita supaya berhati-hati sebelum bercakap kerana  apabila tersilap kata atau sudah terlanjur tidak dapat ditarik balik lagi ialah terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya ATAU terlangsung perahu boleh balik, terlangsung cakap tak boleh balik. Peribahasa kerana mulut badan binasa ( mendapat kecelakaan kerana perkataannya) jelas mengajak manusia untuk menjaga deria mulut sehinggakan pujangga pernah bermadah mulut kamu harimau, kamu mengerkah kepala kamu (kata-kata yang membinasakan diri)

          Perkataan yang dilontar dan bicara yang dilantun hendaklah dijaga supaya tidak berlaku sudah patah baru hendak melantai (sesudah mendapat kesusahan baru hendak beringat-ingat) Kata orang semasa bercakap memandang-mandang, silap lidah jiwa hilang atau bercakap siang pandang-pandang, bercakap malam pandang-pandang (berhati-hati apabila bercakap tentang hal orang lain)
Sekiranya kita tidak ada adab berlisan, kita mungkin akan termasuk dalam belukar onak (terlibat dalam kesusahan dan tidak dapat melepaskan diri). Kita juga berkemungkinan mengalami hidup yang tidak tenang atau sangat gelisah kerana kesilapan dalam tutur kata, seperti terpijak bara hangat atau seperti cacing kepanasan.

          Walaupun lidah satu organ yang lembut dan tidak bertulang, tetapi bagi bijak pandai mereka mengumpamakan lidah itu lebih tajam daripada mata pedang. Lidah boleh memuliakan dan mengangkat maruah seseorang dan pada ketika lain mampu untuk menghina dan menjatuhkan seseorang. Justeru, "lidah yang tidak bertulang jika salah petik (gerak lidah) jiwa hilang" (orang yang mendapat malang kerana tidak tahu menjaga tutur katanya) Antara hadis yang dikaitkan dengan lidah ialah "kebanyakan dosa anak Adam kerana lidahnya (HR: Thabrani dan Baihaki). Selain itu Abu Darda juga berkata "gunakanlah kedua-dua telingamu daripada mulutmu, kerana engkau diberi dua telinga dan satu mulut agar engkau lebih banyak mendengar daripada berbicara"  dan "barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirnya maka hendaklah berkata baik atau diam (kalau tidak dapat berkata baik"(HR: Bukhari dan Muslim)

          Menjaga lidah memang tidak mudah. Salah satu impak daripada bahaya lidah adalah fitnah. Tuduh menuduh, fitnah memfitnah, umpat mengumpat bagaikan sudah menjadi senario biasa dalam kehidupan. Mereka menggunakan platform rangkaian sosial yang ada seperti telefon bimbit, Facebook, twitter, sms, internet dan instrumen-instrumen lain bagi merangsang dan menyuburkan budaya negatif ini. Walaupun mulut tertutup erat dan lidah tidak menggerakkan kata, mereka dengan laju menekan aksara satu demi satu untuk mengaibkan orang lain. Adakah cara telah menghalalkan tujuan? Pokok pangkalnya tanpa berpegang kepada tali Allah segala-galanya mungkin dan fitnah akan terus berleluasa pada abad ini.

     Sekiranya mendapat maklumat yang belum tentu lagi kesahihannya, proses menyaring maklumat perlu dilakukan secara rasional. Dengan asas yang kukuh dan bukti yang benar sahaja membolehkan kita membezakan antara yang hak dan yang batil.  Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat, ayat 6 " WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN, JIKA DATANG KEPADA KAMU SEORANG FASIK MEMBAWA SESUATU BERITA, MAKA SELIDIKLAH (UNTUK MENENTUKAN) KEBENARANNYA, SUPAYA KAMU TIDAK MENIMPAKAN SESUATU KAUM ITU DENGAN PERKARA YANG TIDAK DIINGINI, DENGAN SEBAB KEJAHILAN KAMU (MENGENAINYA) SEHINGGA KAMU MENYESALI PERKARA YANG KAMU LAKUKAN" Kita tidak mahu menjadi seperti kata peribahasa "Gar-gar kata gelegar, rasuk juga yang menahannya"(percaya akan kata-kata orang akhirnya diri sendiri yang akan menanggung akibatnya) dan " kalau sudah calit jangan palit" ( membabitkan orang lain dalam kesalahan yang kita lakukan)

     Sesungguhnya, kata orang tua-tua "kalau berjalan peliharakan kaki, kalau berkata peliharakan lidah" ( beringat-ingat apabila membuat sesuatu) dan kekuatan ummah untuk membentengi diri daripada berbuat fitnah terhadap orang lain ialah dengan mengingati firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 191 "FITNAH ITU LEBIH BESAR DOSANYA DARIPADA MEMBUNUH" dan hadis Riwayat Muslim "DARIPADA HUZAIFAH BIN AL-YAMAN R.A. NABI MUHAMMAD S.A.W BERSABDA: "TIDAK MASUK SYURGA ORANG YANG SUKA MENGACUM (MENYEBAR FITNAH) dan "DARIPADA ABU HURAIRAH R.A, NABI S.A.W BERSABDA: TIDAKLAH, SEORANG HAMBA YANG MENUTUP KEAIBAN HAMBA YANG LAIN MELAINKAN ALLAH AKAN MENUTUP KEAIBANNYA PADA HARI KIAMAT"

         AKU MEMOHON KEAMPUNAN DARIPADAMU , YA ALLAH. Sesungguhnya yang baik itu datangnya daripada Allah, yang buruk itu datangnya daripada hambaNya sendiri.

          

Sunday 2 December 2012

menelusuri sejarah perjalanan maut


Membaca buku Buruh Paksa, Landasan Kereta api Maut Thailand-Burma 1942-1945 terbitan Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, mengingatkan aku kepada cerita ibu tentang kehidupannya semasa zaman pemerintahan Jepun. Ibu yang tinggal di sebuah kampung di daerah Pasir Mas, sering diminta oleh bapanya untuk menjaga tanaman sayur-sayuran mereka kerana tentera Jepun ini akan menghulurkan sedikit wang kepada kanak-kanak sepertinya sebagai tukaran kepada sayur tersebut. Walau bagaimanapun episod duka keluarga ibu mulai dirasa apabila abang iparnya yang juga seorang petani turut ditangkap oleh tentera Jepun untuk menjadi buruh paksa bagi membina jalan kereta api sejauh 415 kilometer dari Nong Pladuk, Kanchanaburi, Thailand ke Thanbyuzat di Burma untuk merealisasikan  misi penting mereka menakluki  negara India melalui Burma.

          Penderitaan kakaknya kerana kehilangan suami yang hanya beberapa bulan melayari kehidupan berumah tangga semakin berganda selepas kematian anak pertama yang baharu dilahirkan. Seingat aku emak saudara yang sempat kukenali pada zaman kanak-kanak ini hilang penglihatannya dan amat takut dengan bunyi halilintar yang membelah bumi. Aku tidak pasti punca traumanya dan berasa sedikit terkilan kerana tidak sempat untuk bertanya kisah yang sangat mendukacitakanya ini. Kata ibu, kesedihannya yang melampau telah menyebabkan dia tidak lagi dapat melihat dunia ini. Ini merupakan sebahagian kecil kisah penderitaan manusia pada masa pendudukan Jepun. Seorang perempuan yang bernama Shaodah binti Ibrahim, cantik dan putih melepak ini sudah tiada lagi di dunia ini dan bersama-samanya terkubur  penderitaan kehilangan yang tragis dalam kehidupannya.

      Buku teks sejarah yang digunakan pada hari ini tidak memaparkan maklumat secara terperinci zaman pendudukan Jepun.Untuk mendalami perasaan dan memahami penderitaan, kezaliman dan kekejaman mereka, aku bermula dengan novel Nyawa di Hujung Pedang. Hobi suka membaca novel semasa zaman kanak-kanak membawa aku merasai keperitan hidup , mengenali istilah tali barut dan penyiksaan orang Jepun yang memaksa tahanannya untuk minum air sabun, memijak perut mereka dan membenamkan hujung benetnya yang tajam kepada sesiapa sahaja yang menentang Jepun.

         Buku sastera sejarah yang memaparkan kehidupan semasa zaman pendudukan Jepun 
         di Tanah Melayu 



          Imej kekejaman mereka, semakin terserlah melalui dokumentari The Long March from Sandakan atau Sandakan Death Marches dan Sook Ching Massacre atau The Singapore Chinese Massacre. Paparan tentang pembinaan jalan kereta api maut melalui filem The Bridge on The River Kwai semakin menjelaskan senario yang berlaku pada waktu itu. Filem yang memaparkan kisah yang sadis ini telah berjaya menerima "seven academy awards including best picture"

                                                      Sandakan Death March Memorial


 Sandakan-Ranau Death March



The Singapore Chinese Massacre
                                                       

                        Filem terbitan tahun 1957 berdasarkan catatan penulis Perancis, Pierre Boulle


          Stesen kereta api Ban Pong merupakan tempat buruh paksa dan tawanan perang dari Singapura dan Tanah Melayu diturunkan untuk memulakan pekerjaan membina landasan kereta api. Menurut catatan dalam buku yang diterbitkan oleh pihak Muzium Negeri Kelantan ini, pelbagai masalah telah menghantui pembinaan jalan kereta api maut ini. Ketidakcekapan pengurusan telah berlaku setelah Lt. General Shimida Nobua dan 11 orang pakar dalam bidang ini terkorban dalam nahas kapal terbang di kawasan pergunungan  berhampiran Three Pagoda Pass. Kematian mereka menyebabkan kerja-kerja pembinaan diuruskan oleh orang muda yang tidak berpengalaman Keadaan semakin rencam apabila kerja-kerja berat dilakukan oleh buruh-buruh paksa yang tidak mahir terutamanya dari Kelantan yang kebanyakannya terdiri daripada petani dan nelayan.

          Antara pekerjaan berat yang dilakukan: menebang pokok-pokok besar, membersih kawasan laluan, meneres lereng-lereng bukit, menimbus kawasan-kawasan rendah, menyusun landas(sleeper), mengangkut rel kereta api, mengangkut batu-batu dan membina jambatan. Bayangkan betapa sukar dan tersiksanya mereka menjalankan kerja-kerja tanpa bantuan alat teknologi canggih dan hanya berbekalkan kudrat yang ada Tidak sanggup aku bayangkan kehidupan yang terpaksa mereka lalui. Pada aku, fasa yang mereka jalani sepanjang tempoh tersebut dengan bertemankan hutan hujan tropika yang begitu tebal, tempat penginapan yang daif dan sesak, makanan dan ubatan yang tidak mencukupi , terdedah kepada pelbagai penyakit dan siksaan bukan sahaja amat kejam malah di luar batas-batas kemanusiaan.

                                                      Rakaman peristiwa perjalanan maut




       





          Buku Buruh Paksa turut memaparkan temu bual dengan Muhammad bin Awang salah seorang buruh paksa yang terlibat dalam pembinaan jalan kereta api maut.

"semasa dalam perjalanan , kezaliman sudahpun berlaku. Mereka hanya diberi makan sekali sehari. Buruh-buruh ditempatkan di rumah panjang iaitu bangsal buluh yang beratapkan daun sagu atau nipah dan berlantaikan buluh. Setiap bangsal dimuatkan lebih kurang 100 orang.(setiap orang mempunyai satu meter keluasan tempat penginapan ini) Mereka diarahkan membuat pelbagai kerja. Mereka dikawal oleh tentera Jepun dengan keras. Jika mereka melakukan kesalahan, lambat atau letih mereka akan dipukul dengan buluh, rotan atau di tampar. Selain daripada makan minum yang tidak mencukupi mereka juga menghidap pelbagai penyakit seperti demam malaria dan cirit birit. Ubat-ubatan tidak mencukupi dan kematian berlaku bila-bila masa. Buruh yang mati diisi ke dalam guni dan ditanam dimerata-rata tempat. Ada yang ditanam, dibakar atau dihanyutkan ke sungai"

           Pembacaanku terhenti seketika, fikiranku menerawang . Ingatanku penuh dengan teka-teki .Apakah ini yang dialami oleh suami emak saudaraku? Hati semakin sayu, aku terasa bersatu dengan sejarah kereta api maut ini. Untuk pembinaan Jambatan Kereta api di atas Sungai Kwai saja dikatakan telah mengorbankan ribuan tawanan perang dan buruh paksa semasa mereka menjalankan kerja-kerja pembinaan jambatan dan landasan disekitarnya. Sepanjang tempoh tersebut seramai 16,000 orang tawanan perang dan lebih 100,000 orang buruh dari Asia meninggal dunia dan hilang. Angka sebenar orang-orang Asia meninggal tidak dapat dikesan dengan tepat kerana rekaod-rekod yang mengandungi maklumat ini telah dimusnahkan oleh pihak pentadbiran Tentera Jepun pada akhir Perang Kedua.



jambatan yang dibina merentasi Sungai Kwai (lama dan baharu)


          Secara puratanya setiap kilometer landasan yang dibina itu menelan 38 nyawa manusia atau seorang meninggal dunia pada setiap ela jalan kereta api itu disiapkan. Pada papan peringatan di Stesen Kereta api Wang Po menyatakan: WANG PHO RAILWAY STATION, SAIYOK KANCHANABURI , STATION OF DEATH RAILWAY REBUILT BY PRISONERS AND LABOUR IN WORLD WAR II, 1943. PEOPLE SAID THAT ONE OF WOOD AS SAME AS ONE MAN.





        Antara prakata penyusun buku Buruh Paksa, Dato' Haji Salleh bin Mohd. Akib, "bila mendengar cerita dari mulut bekas-bekas buruh paksa, melihat sendiri kesan tapak-tapak landasan tersebut, membaca buku-buku berkaitan dan melihat pameran di muzium-muzium di Kanchanaburi jelaslah satu kezaliman telah berlaku akibat perang" Kepada generasi baru, jagalah kemerdekaan negara kita dengan sebaik-baiknya. Sesungguhnya mereka yang tidak mempelajari sejarah mempunyai kemungkinan untuk mengulanginya sekali lagi. Aku sedekahkan al Fatihah kepada mereka yang telah terkorban sewaktu pendudukan Jepun terutama untuk  bapa  saudara yang tidak sempat kukenal yang kemungkinan besar terkubur tanpa  batu nisan.

                                                                        SUMBER GAMBAR: IMEJ GOOGLE

Monday 26 November 2012

harga seorang remaja

Perjalanan hidup ini sering diselubungi dengan pelbagai rencah kehidupan. Kegembiraan, penderitaan, keperitan, kebahagiaan datang bersilih ganti, bagaikan sebuah roda kehidupan sekejap berada di atas dan sekejap berada di bawah. Walau apapun kehidupan yang kita lalui, keberkatan hidup dengan berpandukan al-Quran dan hadis harus dijadikan agenda utama agar kita tidak tersasar, terpesong dan menyimpang dari jalan lurus yang sepatutnya kita lalui. Dalam memilih tujuan hidup kita tidak harus lari daripada matlamat kejadian manusia itu sendiri. Mengikut firman Allah Subhanhu Wataala " Dan tidak akan dijadikan jin dan manusia, kecuali untuk beribadah kepada ku" (Surah Al-Dzaariyat:56)

          Kata Lao Tze, perjalanan seribu langkah bermula dengan satu langkah. Langkah pertama yang dipilh mestilah diseimbangkan antara keperluan jasmaniah dan rohaniah. Sekiranya hanya aspek jasmaniah yang diberikan penekanan maka akan berlakulah kekosongan jiwa. Jadi tidak hairanlah sekiranya, kita hanya melahirkan produk yang ada jasadnya, tetapi tiada roh atau jiwanya. Kebejatan sosial yang berlaku pada hari ini berkaitan dengan akhlak buruk yang menjadi dominan para remaja hari ini. Untuk membentuk akhlak yang baik memang sukar tetapi setiap individu Muslim mestilah berusaha ke arah membentuk kesempurnaan akhlak seperti yang dituntut oleh agama Islam.

          Mengikut Cecil B.Demille, orang yang berjaya dalam hidupnya adalah orang yang nampak tujuannya dengan jelas dan menjurus kepadanya tanpa menyimpang. Peribahasa jika menebang menuju ke pangkalnya, jika melanting menuju ke tangkainya (sesuatu yang dilakukan mesti ada tujuannya) juga menunjukkan keperluan mempunyai matlamat dalam hidup dan membuat perancangan untuk mencapainya. Remaja yang bermatlamat, perlu menghindari daripada membuat kerja secara sambil lewa dan tidak bersungguh-sungguh yakni seperti melepaskan batuk di tangga. Remaja yang memulakan sesuatu pekerjaan hendaklah menyempurnakannya sampai ke akhir, bak kata khazanah bahasa jika pandai menggunting hendaklah pandai menjahit. Dalam hal ini, remaja sepatutnya berpegang kepada peribahasa: alang-alang berdakwat biar hitam, alang-alang berminyak biar licin, alang-alang mandi biar basah dan alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan( mengerjakan sesuatu janganlah separuh jalan atau tidak bersungguh-sungguh, kalau tidak matlamat tidak akan 
tercapai)

          Peranan akhlak dalam menentukan sahsiah seseorang tidak bolah dinafikan lagi kepentingannya. Kata al Gahazali "hidup biar beradab, bukan hidup untuk biadap" Akhlak yang buruk itu ibarat tembikar yang pecah; tidak dapat dilekatkan dan tidak dapat dikembalikan menjadi tanah lagi. Kita tidak mahu melahirkan generasi yang beraja di hati dan bersultan di mata (mengikut kehendak hati sendiri) ataupun mereka yang bercermin di air keruh (mencontohi perbuatan yang kurang baik) dan mereka yang belum bertaji hendak berkokok ( belum berilmu sudah menyombong). Kita juga sudah pasti tidak mahu remaja yang di luar bagai madu tetapi di dalam bagai hempedu (pada zahirnya rupa baik tetapi sebenarnya jahat). Tuntasnya, remaja yang sentiasa berpaksikan hukum Allah dalam kehidupannya pasti dapat menjadi insan terpilih  untuk meneruskan legasi dalam menyebarkan keindahan Islam dan dakwah kepada orang lain.

     Generasi yang baik merupakan mereka yang belum dipanggil sudah datang, belum disuruh sudah pergi (orang yang rajin dan arif). Tutur katanya, bagai lautan madu yang berpantaikan sakar (perkataan yang manis-manis keluar daripada orang yang elok rupa dan pekertinya). Mereka ini bagai menelan mestika embun (mendengar nasihat yang baik) dan dalam membuat sesuatu pekerjaan, mereka berhambakan tangan, bersaksikan mata dan berhakimkan hati (berfikir semasak-masak sebelum membuat sesuatu perkara) Mereka tidak menyombong diri walaupun berilmu dan berkedudukan tinggi kerana mereka sedar, ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya . Dalam kehidupan mereka tidak membawa resmi lalang tetapi membawa resmi padi yang semakin berisi semakin tunduk (semakin banyak ilmu dan semakin tinggi pangkat tetapi semakin merendah diri)

     Sekiranya remaja yang ingin di anjung seperti payung dan di ambah seperti kasur, (dimuliakan orang lain) mereka hendaklah mengisi kehidupan bukan sahaja dengan ilmu duniawi tetapi juga harus membangunkan hati dan penghayatan rohaniah. Remaja yang berwawasan mempunyai cita-cita untuk dicapai kerana mereka sedar tanpa cita-cita, seorang remaja akan berjalan tanpa noktah dan penghujungnya dan kalau belayar umpama pelayaran yang tidak berpelabuhan.  Golongan berkesedaran tinggi ini  tahu, sekiranya mereka hanya mengharapkan masa depan tanpa pernah melabur potensi diri pada hari ini, ibarat seorang petani yang mengharapkan tuaian tanpa pernah menyemai benihnya. Ironinya, hanya remaja yang sedar dan  sentiasa berusaha akan berjaya meningkatkan status dan pencapaian diri bak kata peribahasa  dari segenggam jadi segantang (bertambah baik) Oprah Winfrey seorang "presenter " dan antara wanita terkaya di dunia pernah berkata " Tiada masalah siapa anda dan dari mana anda berasal. Kemampuan untuk bangkit dan menang berasal daripada diri anda sendiri"

          Intihannya, remaja yang telah berjaya boleh diumpamakan yang di makan rasa, yang di lihat rupa dan yang di dengar bunyi (tiap-tiap pekerjaan dilaksanakan dengan sempurna dari segi rupa, pendengaran dan perasaan) Penetapan harga diri seseorang remaja bergantung kepada tindakan mereka dalam mencari identiti diri yang selari dengan hukum syarak yang telah ditetapkan, suri teladan dan qudwah/uswah hasanah yang baik. Pilihan yang tepat akan melahirkan insan yang mulia dan mempunyai nilaian yang tinggi bukan sahaja kepada remaja itu sendiri malah kepada masyarakat yang memiliki permata tersebut. Sesungguhnya madu satu tong, jikalau rembes, rembesnya madu juga dan benih yang baik sekiranya jatuh ke laut akan menjadi pulau. Teruskan menjadi insan yang cemerlang, yang mendapat keberkatan dan  keredaan Allah.

          

     

Tuesday 30 October 2012

Menambak bahagia dalam ijab kabul

Membaca buku Mencari Makna Hidup tulisan Parlindungan Marpaung memberi satu inspirasi dan dimensi baharu dalam kotak pemikiranku. Motivasi yang disampaikan secara santai dengan pelbagai contoh dari kehidupan, dapat membangkitkan kesedaran dan keberanian bagi melakukan perubahan diri ke arah yang lebih baik . Antara tulisannya yang menarik perhatianku ialah " jangan mengukur dan mengeluh betapa tingginya sesebuah gunung sebelum cuba mendakinya, kerana selepas berjaya mencapai puncaknya, kita pasti mengatakan betapa rendahnya gunung itu" 

      Kata-kata yang penuh semangat ini memungkinkan kita mengumpul kekuatan yang luar biasa untuk menjadi insan yang luar biasa dalam menempuh kepayahan dan pahit getir kehidupan. Alam perkahwinan bagaikan sebuah kanvas kehidupan yang dipenuhi dengan pelbagai warna, terserah kepada kita untuk mencorakkannya. Sebagai watak utama dalam ikatan suci ini, baik isteri mahupun suami mempunyai tanggungjawab yang perlu digalas secara bersama-sama bagaikan berat sepikul, ringan sejinjing (bersama-sama dalam suka duka atau mengerjakan sesuatu) 

     Rutin kehidupan yang menjemukan akan menambahkan lagi palitan luka kepada sesebuah perkahwinan. Sekiranya keletihan dan kepenatan dalam tugasan tidak diurus dengan baik maka bibit-bibit kebahagiaan akan semakin menjauh dan akan terpaparlah wajah yang kusam dan mencuka.  Parlindungan Marpaung dalam bukunya turut menggambarkan reaksi seorang suami yang isterinya menghidapi demam selesema pada tahun kelapan perkahwinan mereka :


TAHUN KEDUA: " sayang, saya berasa terganggu mendengar suara bersinmu, apalagi ketika ini saya sedang banyak kerja pejabat. Pergilah masuk tidur di bilik, sayang"

TAHUN KETIGA: "Mungkin dirimu perlu berehat sayang, kerana apabila demam, yang penting rehat. Kamu suka sup ayam, bukan? Nanti saya minta pembantu masakkan"

 TAHUN KEEMPAT: " Jagalah kesihatanmu, sayang. Selesaikan kerjamu dulu dan siapkan anak-anak, selepas itu rehat, ya"

 TAHUN KELIMA: "Kenapa tidak makan ubat jika sakit? Jangan main-main jika sakit. Suruh pembantu rumah mengurutmu, mana tahu mungkin boleh sembuh"

 TAHUN KEENAM: "Makan ubat tidak sembuh-sembuh? kasihan anak-anak sekiranya semua kena jangkitan. Mahu dibiarkan sahaja hidungmu tersumbat sepanjang malam. Cubalah sapu minyak angin, moga-moga boleh sembuh."

 TAHUN KETUJUH: "Apabila terbersin, tutuplah mulutmu...nanti orang lain pun terkena jangkitan. Sekiranya sakit, janganlah libatkan orang lain pula."

 TAHUN KELAPAN: " Memang keluargamu ada penyakit selesema. Cubalah pulang ke rumah keluargamu dan tinggal di sana sehingga sembuh. Jika berada bersama dengan keluarga sendiri, selalunya penyakit boleh sembuh lebih cepat"



    Cerita sinis ini sedikit sebanyak mencalar kisah cinta manusia. Perkahwinan yang baru menginjak usia lapan tahun mula ditumbuhi titik-titik hitam. Kemana perginya kebahagiaan? Kebahagiaan merupakan sesuatu yang subjektif  dan unik.  Apabila perasaan ini tumbuh subur dalam lubuk hati, ia akan  terpancar jelas pada wajah-wajah mereka yang dianugerahi Allah perasaan ini. Bahagia boleh dimiliki oleh sesiapapun tanpa mengenal darjat keturunan, justeru kitalah yang perlu meraikan cinta untuk mengembalikan kebahagiaan dalam rumah tangga. Hubungan suami isteri hendaklah Bagai labah-labah cinta akan telurnya( sangat menyayangi)  dan Berjarak serasa hilang, bercerai serasa mati (sangat saling mencintai) ataupun Bagai jentayu menanti hujan(sangat rindu). 

Kebahagiaan dalam rumah tangga mengikut kata penulis Pahrol Mohd Juoi perlu dibina. "Jangan mencari kebahagiaan dalam rumah tangga, tetapi bawalah kebahagiaan itu ke dalamnya" Tambah penulis lagi,  membina kebahagiaan itu umpama menanam pokok yang memerlukan benih, baja, air dan cahaya yang dipupuk dengan penuh kesabaran dan konsisten. 

    Mengikut penulis, antara empat nilai positif yang perlu ada pada setiap pasangan ialah MELIHAT SISI POSITIF PASANGAN. Sebagai manusia biasa, pasangan kita mempunyai pelbagai kekurangan dan kelebihan. Itulah fitrah manusia. Namun jika kita sentiasa mampu melihat sisi positif pasangan kita, maka kita dapat mengatasi sisi negatifnya.

     Kita juga perlu fokus kepada penyelesaian,bukannya kepada permasalahan.Dalam rumah tangga pasti ada masalah. Masalah ialah peluang untuk kita menjadi lebih akrab dan lebih cinta kepada pasangan masing-masing asalkan kita fokus kepada cara untuk menyelesaikannya.

        Dorongan yang tinggi untuk memberi akan menyerikan rumah tangga dengan kasih sayang dan rezeki yang berkat. Akhir sekali, Yakin terhadap diri sendiri menyebabkan seseorang itu fokus dan mengoptimumkan kelebihan dirinya berbanding dengan kekurangannya.

                Jadi, kebahagiaan mesti disemai dari dalam rumah tangga itu sendiri disamping sentiasa menadah tangan untuk berdoa kepada Allah supaya sentiasa merahmati rumah tangga yang dibina dengan bunga-bunga kebahagiaan dan aura kasih sayang.





                                                                                                       SUMBER LAGU: YOU TUBE

Saturday 23 June 2012

Engkaulah akar tunjang..........pewaris bangsa

Kelas tambahan pagi ini agak kecoh apabila aku melontarkan pertanyaan tentang kedudukan mereka sebagai generasi hari ini.Mereka hanya memandang satu sama lain dan seperti biasa , aku meneruskan tugasanku untuk menjelaskan bahawa tahun kelahiran mereka dikaitkan dengan pembahagian sesuatu generasi itu."kamu tahu tak cikgu ni dikategorikan dalam GENERASI BABY BOOMERS. Ini untuk mereka yang dilahirkan pada tahun 1946 hingga tahun 1964 saja tau" Selepas peristiwa Perang Dunia Kedua meragut jumlah korban yang besar, berlaku peningkatan dalam jumlah kelahiran dunia. Generasi ini mula mengenali televisyen dan muzik secara lebih meluas.Aku meneruskan peneranganku. Gelak ketawa kedengaran....Aku faham apa yang tersirat dalam pemikiran mereka. Guru yang sudah setengah abad ini dikategorikan sebagai generasi baby..............

      GENERASI X (tahun kelahiran antara tahun1965 hingga tahun1980) dikatakan membesar dengan permainan video dan MTV. Secara umumnya mereka dikatakan kurang optimis terhadap masa hadapan, sinis, skeptis dan tidak menghormati nilai-nilai adat tradisional. Mereka juga dikatakan kurang mempunyai rasa hormat kepada orang tua. Mereka yang dilahirkan dalam tahun 1981 hingga tahun 2000 dipanggil GENERASI Y atau turut dikenali sebagai GENERASI MILENIUM. Generasi Y merupakan produk daripada zaman internet, pasaran terbuka, globalisasi serta modernisasi. Mereka dikriteriakan sebagai cenderung meminta, kurang sabar dan kurang berkomunikasi. Mereka juga mempunyai kemampuan bahasa yang teruk.

    Generasi Y disinonimkan sebagai generasi pascamoden. Di Amerika mereka dikenali sebagai "slackerdom" (para pemalas) yang suka kepada pesta dan cinta. GENERASI PLATINUM yang merupakan generasi baru abad ke-21, dilahirkan pada tahun 2001 dan seterusnya merupakan generasi yang menyukai kemewahan dan bergaya elegan. Generasi yang dilahirkan sebelum tahun 1925 dikenali sebagai GENERASI SENIORS manakala merka yang dilahirkan pada tahun 1926 hingga tahun 1945 pula dipanggil GENERASI BUILDERS.

      Mengkategorikan individu dalam kumpulan tertentu tidak semestinya betul seratus peratus.Dalam sejarah Tamadun Awal, pembahagian ciri-ciri kehidupan Zaman Peleolitik, Zaman Mesolitik, Zaman Neolitik dan Zaman Gangsa berdasarkan aktiviti tertentu pada zaman tersebut dan tidak akan dinyatakan sekali lagi pada zaman selepasnya. Misalnya walau pun aktiviti berburu ada pada setiap zaman bermula pada zaman Paleolitik lagi tetapi aktiviti tersebut tidak lagi menjadi ciri istimewa pada zaman Neolitik. 

      Generasi Y dan Generasi Platinum lahir dalam kehidupan serba mewah: tanpa mengalami peperangan, wabak penyakit dan kemiskinan melampau. Mereka disogokkan oleh media massa dengan pelbagai kesenangan hidup. Ini menyebabkan mereka tidak dapat menerima sebarang kekurangan dan mendesak ibu bapa untuk menyediakan segala-galanya yang kadang-kadang di luar kemampuan ibu bapa. Paling ironi apabila mereka melakukannya tanpa sekelumit pun perasaan bersalah terhadap mereka.

      Kita lupakan sahaja strata generasi ini, kerana kita mempunyai satu tanggungjawab yang sangat besar dalam agenda untuk melahirkan generasi berwibawa untuk negara.Walau apapun definisi terhadap kumpulan generasi tersebut, kita tidak harus mengabaikan dan membiarkan mereka hidup dalam dunia fantasi dan terjebak dalam pelbagai aktiviti tidak sihat.
     Kata Confucius, Untuk membentuk dunia kepada aturannya, kita mesti membentuk bangsanya. Untuk membentuk bangsa, kita mesti terlebih dahulu membentuk keluarga. Untuk membentuk keluarga pula kita mesti membentuk diri sendiri yang mempunyai hati dan nilai yang murni               
      Ucapan mantan Perdana Menteri Malaysia pada tahun 2005:
      Pembangunan modal insan menjadi sangat penting kepada negara pada masa hadapan dan mereka ini mestilah berkualiti, kualiti bukan sahaja dari segi pendidikan dan kepakaran tetapi juga dari segi moral yang tinggi, bertanggungjawab dan mengutamakan nilai-nilai murni dalam kehidupan.
      Peranan semua pihak sangat penting dalam membentuk generasi yang seimbang. Tamadun yang ingin kita capai bukan sahaja dalam aspek sekularisme dan kebendaan semata-mata tetapi dalam aspek kerohanian juga. Sebagai pemimpin kita ibarat:

                                                  Pohon rendang di tengah padang
                                                  Batangnya untuk bergantung
                                                  Buahnya untuk dimakan
                                                  Daunnya untuk berlindung.

      Walau bagaimanapun peranan kita sebagai warganegara tidak kurang pentingnya. Seperti kata Beng Tju "Rakyat itu akar bangsa, jika akarnya sihat, pokoknya pun sihat" Sebagai rakyat yang cinta akan negara kita perlu menyelami dan menghayati  kata-kata Abraham Lincoln, " Jangan ditanya apa yang dibuat oleh negara untuk kamu, tetapi tanyalah apa yang boleh kamu buat untuk negara"

Friday 22 June 2012

di penghujung usiamu

Konvokesyen kali ke-11 yang bertemakan "The knowledge Realization" di Dewan Tun Canselor, Universiti Mutimedia (MMU) meninggalkan satu kenangan yang berbekas di hatiku. Sesuatu yang tidak berlaku di majlis yang seumpamanya, menggamit rasa keibuanku.  Dendangan lagu Ayah dan Ibu memenuhi setiap ruang dewan dan yang paling mengharukan ialah semasa alunan lagu tersebut para penerima anugerah turut berdiri untuk meraikan ibu bapa masing-masing. Kelopak mata setiap hadirin mula berkaca dan ada yang menyeka air mata mereka daripada terus membasahi pipi. Suasana dewan begitu bening tanpa butir-butir bicara dan terasa dunia terhenti seketika untuk menikmati detik tersebut.

                                         Dewan Tun Canselor MMU:Konvokesyen kali ke-11







      Entah mengapa pada hari-hari mendatang ini  ingatanku terhadap ibu begitu kuat.Seakan-akan aku berkongsi segala kesepian, kekosongan dan kesunyiannya. Dalam jarak beratus-ratus kilometer, kita berbumbungkan langit yang sama dan di kejauhan ini aku semakin mengerti perasaanmu. Engkau bagaikan berada di rumah tanpa jendela yang diselimuti tabir sepi.Kamarmu umpama tiada pintu yang memenjarakan kesunyian bersamamu. Pandangan jauhmu dan lirik matamu terasa begitu kosong tanpa palitan apa-apa warna.Kehadiran siang dan malam sudah tidak membawa apa-apa makna buatmu.


      Pada usia mudamu, ibu seorang yang bekerja keras untuk memenuhi tuntutan keluarga. Dengan gaji ayah yang tak seberapa engkau melakukan pelbagai kerja untuk menambahkan pendapatan keluarga. Seingat aku, engkaulah yang bersengkang mata mengambil upah menjahit baju, membuat kuih untuk dijual, mencanting batik dan yang paling mengharukan apabila engkau seharian mengisi kapsul ubat sehingga ibu jarimu menjadi keras kematu. Segala pengorbananmu adalah untuk memastikan anak-anakmu dapat merasa sedikit "kemewahan" :dapat membeli pakaian dan kasut baru mungkin sekali atau dua kali setahun.Walau sepahit manapun pengalaman yang telah ditempuhi ibu semasa membesarkan kami, semuanya seakan diganti dengan kepuasan dan kelegaan apabila melihat anak-anaknya berjaya dan bahagia.

                                              Ibu sewaktu mudanya cantik dan menawan orangnya.

Ibu di usia tuanya tetap manis dipandang mata.



      Kini, di penghujung usiamu, ibu menjadi semakin lemah. Kekuatan tenagamu semakin berkurangan pada setiap hari yang mendatang. Untuk menyuapkan nasipun tanganmu menggeletar dan menyebabkan nasi bertaburan. Untuk menapakpun, engkau tidak mempunyai kudrat. Kini engkau menghabiskan sebahagian masamu ditempat tidur. Memandang mata layumu, begitu menyebakkan aku. Ketangkasanmu menguruskan rumah tangga, keenakan air tanganmu dalam menyediakan makanan dan kelembutanmu mengusap kesakitanku telah hilang ditelan waktu.Aku benar-benar merindukan waktu itu. Walau bagaimanapun bibirmu masih kuat untuk berzikir dan bertahmid. Dengan suara yang perlahan ibu membisikkan kepadaku yang dia tidak pernah seharipun lupa berdoa untuk aku dan keluarga. Betapa besarnya kasih ibu, dalam keadaan yang begitu lemah dan tanpa kudrat pun dia masih tidak lupa mendoakan kebahagiaan hidupku.



      Aku?? Benarlah kata orang tua-tua, seorang ibu boleh menjaga tujuh atau lapan anak tetapi tujuh atau lapan anak itu tidak mampu menjaga seorang ibu.Ya Allah, Engkau golongkanlah aku dalam kalangan anak-anak yang soleh. Lagu Jasa Bonda ini mengungkapkan kebenaran perasaan seorang ibu. " Kau dibuai mimpi....dia jaga. Kau bersenang...dia bekerja. Untukmu tiada terbatas. Memberi tak minta dibalas......".....Engkau semakin dewasa berjiwa merdeka, sedang dia semakin tua membilang usia, disaat kau berjaya .....dia tidak berdaya....."

                                                  HAYATILAH LAGU JASA BONDA



 Bila mak kata dia teringat, kita jawab kita sibuk sangat.
 Bila ayah kata dia rindu, kita jawab nantilah hujung minggu.
 Bila mak minta kita pulang, kita jawab kita belum lapang.
 Bila ayah minta kita singgah, kita jawab kerja kita belum selesai.
 Bila hati kita terguris, kita kata “Mak memang tak pernah faham”.
 Bila hati kita terhiris, kita kata “Ayah memang tak ambil kisah”


Tetapi


 Bila hati mak kita terguris, mak kata “Tak apa, dia masih muda”.
 Bila hati ayah kita terhiris, ayah kata “Tak apa, belum sampai akalnya”.
 Bila kita menangis tanda lapar, mak berlari bagai hilang kaki.
 Bila kita merintih tanda derita, ayah bersengkang mata bagaikan tiada lena.
 Bila kita sedih kerana gagal, mak setia membekalkan cekal.
 Bila kita pilu kerana kecewa, ayah teguh berkata dia tetap bangga.


      Maafkan aku ibu, maafkan aku ayah kerana sentiasa berada di dalam kumpulan "NANTI" dan sentiasa mencipta "ALASAN" Akan aku hargai MEREKA: insan yang bernama ibu dan ayah semasa mereka masih bernafas.Akan aku luahkan sayang sebelum terlambat.

PADA USIA 6 TAHUN  -  "MAK SAYA SAYANG MAK!"
PADA USIA 10 TAHUN -"MAK ,APA-APA LA"
PADA USIA 16 TAHUN - "MAK SAYA MERIMASKAN"
PADA USIA 25 TAHUN - "MAK, MEMANG BETUL CAKAP MAK SELAMA NI"
PADA USIA 30 TAHUN - "SAYA NAK PERGI RUMAH MAK"
PADA USIA 50 TAHUN - "SAYA TAK NAK KEHILANGAN MAK!"

Kita cuma mempunyai SEORANG Mak. Bagi yang masih ada, hargailah MAK kita. Bagi yang sudah kehilangan Mak, mari sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah.



                                                           SUMBER GAMBAR:GOOGLE DAN MILIK PERIBADI
                                                            SUMBER LAGU: YOU TUBE



Friday 11 May 2012

dari kerana mata....

      Meneliti lirik lagu R.Azmi ....".dari kerana mata ..yang mempunyai kuasa...oh aku tergoda..aku tergoda...terkecewa...dari kerana mata....." jelas membayangkan peranan mata dalam menilai seseorang individu baik dari segi rupa maupun sahsiah diri. Lagu Serunai Malam juga memperkatakan perkara yang sama "Dari mana datang rasa kasih sayang, Dari mata ke hati lalu dikenang" Intihannya, dari pandangan mata akhirnya muncullah kasih sayang dan seterusnya membunga dalam hati  setiap insan yang mendiami alam sejagat ini.

                   Lagu R.Azmi Dari Kerana Mata yang kemudiannya dinyanyikan semula oleh
                                                               Allahyarham Sudirman


      Kecantikan seseorang  merupakan sesuatu yang abstrak.Penilaian kecantikan bagi sesuatu masyarakat mungkin berbeza walaupun tinggal di bumi yang sama.Cantik pada pandangan mata kita tidak semestinya cantik pada pandangan orang lain. Bertuahlah kepada mereka yang dianugerahkan Allah dengan kecantikan tubuh badan yang ramping, pipi bak pauh dilayang, hidung bak seludang kelapa, bibir bak delima merekah dan rambut bak mayang mengurai. Ini merupakan bonus yang harus dihargai serta disyukuri dan bukannya untuk diperagakan,diegokan dan ditakburkan.Dalam masyarakat Melayu kecantikan paras rupa dinilai berserta dengan budi bahasa 

      Perempuan yang cantik tanpa nilai budi dianggap sebagai Bunga Dedap(orang yang cantik tetapi tidak berbudi bahasa) Lebih malang lagi kepada perempuan yang tidak tahu menjaga maruah diri diberi gelaran Bunga Sundal Malam. Beberapa peribahasa yang dikaitkan dengan kecantikan wanita ialah Bulan Penuh, Bagai Bulan Empat Belas, Bagai Bulan Purnama  Serupa Burak, Seperti Emas baru Di Sepuh, Seperti Telur Dikupas dan Seperti Bulan Dipagar Bintang. Peribahasa China "Chen Yu Luo Yan " mengatakan gadis yang memiliki kecantikan luar biasa membuatkan ikan tenggelam ke dasar sungai dan angsa yang terbang jatuh ke tanah. Di Brunei, peribahasa yang menunjukkan kecantikan perempuan yang sudah di solek "Bagai bulan penuh mengambang di kaki langit"

      Masyarakat di seluruh dunia mempunyai tafsiran sendiri mengenai kecantikan.Pentakrifan kecantikan  yang menjadi ukuran bagi mencapai tahap kesempurnaan adalah berbeza-beza berdasarkan benua yang di diami  dan nilai tradisi sesuatu bangsa itu sendiri.


                                                            Berleher Jenjang 

      Lawatan ke Utara Chiengmai membuka peluang untuk aku melihat sendiri kehidupan suku kaum Lisu, Karen, Lahu, Akha, Hmong dan Suku Yao. Suku Karen merupakan suku yang paling unik sehingga digelar "Long neck". Dileher wanita suku Karen dipasang logam berwarna keemasan .Gelang ini berfungsi untuk membentuk leher dan kaki mereka agar lebih panjang, kerana menurut adat mereka semakin panjang leher wanitanya maka mereka dianggap semakin cantik. Berat gelang besi di leher wanita dewasa mencapai lima kilogram dan gelang kaki di bawah lutut berat masing-masing satu  kilogram. Gelang tersebut mula dipakaikan sejak mereka berusia lima tahun. Pada peringkat awal hanya dua hingga tiga gelang dan akan ditambah dari masa ke masa sehingga mereka dewasa. Pekerjaan Kaum Karen ialah menenun kain selain daripada bercucuk tanam.

                                                 Berleher panjang mirip si burung Phoenix


                                        Anak Suku Karen yang mula memakai gegelang leher

                                                      Penenun yang hebat dan hasil tenunan

                                           
                                              Antara suku yang tinggal di utara Chiengmai






                                                     Cuping Telinga Panjang

      Orang Ulu( Kayan, Kenyah, Penan atau Kelabit) di Sarawak pula menganggap cuping telinga yang panjang melambangkan kecantikan dan menambahkan penampilan mereka. Secara tradisi ibu bapa mula menebuk dan meregang cuping telinga bayi mereka yang masih berumur beberapa bulan dengan memakai anting-anting loyang berat yang diperbuat daripada tembaga atau anting-anting lain.Seperti juga Kaum Karen, berat anting-anting akan ditambah dari semasa hingga ke semasa sehingga ke paras bahu si pemakai. Wanita Orang Ulu menganggap semakin panjang cuping telinga mereka semakin menyerlahlah kecantikan mereka, walaupun proses memanjangkan cuping telinga rumit dan menyakitkan(cucuk telinga menggunakan buluh yang ditajamkan seperti jarum. Walau bagaimanapun tradisi ini semakin hilang kerana generasi muda enggan mewarisi tradisi ini.  


                                                                 Orang Ulu di Sarawak





Berbibir Lebar

      Bagi Suku Mursi di Ethiopia, lambang kecantikan kaum wanita ialah bibir yang lebar. Tradisi yang dikenali dengan istilah "Labret" ini dilakukan dengan cara membuat lubang di bahagian bawah bibir semacam ditindik selebar satu hingga dua sentimeter lalu meletakkan piring bulat di dalamnya. Setiap dua hingga tiga minggu mereka menggantikan piringan dengan diameter yang lebih besar. Ini berlangsung sehingga bibir mencapai 15 hingga 25 sentimeter. Tradisi ini biasanya dilakukan para wanita sejak usia 13 hungga 16 tahun ataupun menjelang hari perkahwinan mereka

                                                                    Suku Musi




                                                                   Berkaki Kecil

      Tidak dapat kubayangkan kesakitan yang dialami oleh wanita China dalam merealisasikan apa yang dipanggil kuntuman teratai tiga inci. Tradisi membenngkung kaki di China merupakan terjemahan kepada kecantikan, kewanitaan dan keayuan. Tanpa kaki kecil bersaiz tiga inci, tiada lelaki yang akan masuk meminang. Sebaik sahaja anak-anak perempuan mencecah usia lima atau enam tahun , ibu atau nenek sudah mula membendung kaki mereka. Jari-jari kaki dipatahkan dan dilipat kebawah tapak kaki.Selepas itu dibalut dengan kain sepanjang sepuluh inci. dan selebar dua inci .Kaki yang dibengkung akan diperketatkan dari semasa ke semasa sehingga mencapai saiz yang dikehendaki. Foot Binding atau Pengikatan Kaki adalah tradisi dalam masyarakat China pada zaman dahulu. 


                                                          cantik yang menyakitkan


memiliki kaki tiga inci-kuntum teratai tiga inci

  

                                                           Berbadan Gemuk
  
      Nilai kecantikan bagi wanita di Mauritania terletak kepada individu yang gemuk kerana bagi mereka obesiti  merupakan kecantikan yang sejati. Untuk itu wanita mudanya dipaksa mengamalkan amalan tradisi yang dikenali sebagai leblouh (dipaksa makan). Kanak-kanak perempuan dipaksa makan berlebihan seawal usia lima tahun sehingga menampakkan lemak-lemak di sekitar perut, lengan dan paha. Proses penggemukan ini dikatakan boleh meningkatkan berat kanak-kanak berumur 12 tahun kepada 80 kilogram. Gadis tersebut perlu minum 20 liter susu unta setiap hari serta pelbagai makanan lain yang dicampur mentega..Bagi masyarakat Mauritania wanita kurus dianggap berpenyakit dan miskin manakala wanita gemuk dianggap benar-benar hidup gembira dan merupakan lambang kekayaan.



Obesiti sinonim dengan kecantikan




                                                              Menyumbat Hidung

      Lain halnya dengan Suku Apatani atau Tani di India yang menyumbat hidung sebagai salah satu cara untuk melindungi diri. Perempuan Apatani selalu diculik oleh kaum lain di sekitar kawasan mereka. Oleh itu untuk membuat mereka kelihatan tidak menarik, maka wanita itu mula menyumbat hidung mereka dengan cara yang mengerikan  dan  menmbuat tatoo wajah mereka dengan garis "horizontal" dari dahi hingga ke hujung hidung serta garis di dagu meeka.



      Isu kecantikan tidak pernah usai daripada kamus kehidupan seorang wanita .Selagi dunia berputar selagi
itulah kecantikan menjadi keutamaan dunia wanita.Bagi seorang muslimah keinginan untuk mencantikkan diri mestilah selari dengan syariat Islam.Penonjolan kecantikan budi pekerti akan menyerlahkan lagi imej dan penampilan diri seseorang wanita.
      
                                                         SUMBER GAMBAR:IMEJ GOOGLE DAN MILIK PERIBADI
                                           

Saturday 5 May 2012

rinduku bertunas kembali.....

      Setelah sekian lama, aku sekali lagi ketemu dengan karya Dato' Shahnon Ahmad. Walaupun masa berlalu dengan begitu pantas, masih jelas terbayang novel-novel karya Sasterawan Negara ini  yang pernah aku baca. Antaranya Rentong, Seluang Menodak Baung, Ranjau Sepanjang Jalan, Srengenge dan sebagainya. Ranjau Sepanjang Jalan merupakan karya yang paling berbekas dalam jiwaku. Dengan teknik penceritaannya yang  sangat menarik dan paparan isu kemiskinan masyarakat desa yang bersawah padi, Shahnon Ahmad berjaya memainkan emosi pembaca untuk terus menyusuri jalan cerita novel ini  sehingga ke muka surat yang terakhir. Perincian yang jelas tentang kesakitan yang dialami oleh Lahuma yang menderita ditusuk duri nibung pada kakinya hingga menyebabkan kakinya busuk  dan kekuatan semangat isterinya Jeha dalam menangani pertembungan antara manusia dengan alam menjadikan karya ini sebagai salah sebuah karya agung negara. Karya ini di filemkan di negara ini dengan tajuk yang asal  manakala pengarah filem dari Cambodia memanifestasikan karya ini dengan judul "Rice People" . Selain itu, Ranjau Sepanjang Jalan turut diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris dengan tajuk " No Harvest But A Thorn"  

                                                               Shahnon Ahmad 



      Pembentangan pelajarku mengenai cerpen Shanon Ahmad yang berjudul Ibu dan Ceper benar-benar mengingatkan aku tentang sesuatu yang pernah aku rasa pada suatu masa dahulu. Petikan dalam cerpen ini ".....setiap kali bapa pulang dari rimba belantara berdenak burung, bapa membawa pulang gadung seguni dua"  Gadung atau ubi gadung merupakan sejenis ubi liar yang beracun. Dikenali dengan pelbagai nama; ubi nasi, ubi merah, ubi kipas dan sebagainya merupakan makanan ruji bagi penduduk di kawasan pedalaman di sebelah utara dan Pantai Timur. Kata orang beberapa jenis kuih boleh dihasilkan daripada ubi gadung seperti kuih lok lik, onde-onde, puteri mandi, kuih lapis, buah gomak, bubur dan gadung goreng. Tetapi aku hanya pernah merasa  ubi gadung rebus yang digaul dengan kelapa parut bersama gula dan garam atau ubi gadung yang dikukus dengan jagung atau beras pulut.


                                              pokok, ubi dan hasilnya setelah di proses
      
                                                               Mufin daripada ubi gadung



      Keistimewaan dari segi rasanya sukar untuk aku bayangkan. Proses yang memerlukan masa lebih kurang seminggu dimulai dengan kerja-kerja menggali, mengupas kulit, menghiris nipis-nipis diikuti dengan merendamkannya untuk membersihkan racun yang ada, menjadikan ubi ini  lebih istimewa lagi. Ubi beracun ini memerlukan masa beberapa hari untuk membuang racunnya.Ubi gadong direndamkan di kawasan air mengalir deras seperti dalam sungai selama beberapa hari (lebih kurang empat malam) sebelum di masak untuk menghilangkan toksin "dioscorine". Apabila direndam "dioscorine" didalamnya akan dilarutkan oleh air. Ubi gadung boleh menyebabkan "hepafotoxicity": kerosakan hati, kerosakan saraf dan dalam sesetengah kes boleh menyebabkan kematian. Jadi, hanya yang benar-benar arif sahaja boleh menguruskan ubi ini daripada bahan beracun kepada makanan yang enak untuk dimakan.
      Ubi gadung dikatakan mempunyai pelbagai kebaikan. Selain dapat mengawal ulat pengorek batang padi di sawah padi, ekstrak daripadanya sering digunakan sebagai tuba bagi memabukkan ikan supaya mudah ditangkap.Menyedari kepentingannya dalam pelbagai aspek menyebabkan kerajaan negeri Terengganu memperuntukkan sebanyak RM 2.2 juta kepada UniSZA untuk menjalankan penyelidikan dan seterusnya mengkomersialkan ubi gadung seperti yang telah dilakukan oleh negara Mexico. 



      Pasar Besar Kota Bharu (sekarang dikenali sebagai Pasar MPKB)  menyajikan banyak makanan yang perlu menjalani  beberapa proses sebelum layak menjadi hidangan. Berpuluh-puluh tahun dahulu bukan sesuatu yang sukar untuk membeli ubi gadung rebus, jering rebus dan buah perah rebus. Tetapi kini, pencarianku untuk merasai semula makanan ini menjadi semakin sukar. Buah perah merupakan sejenis buah yang berasal dari pokok perah yang tumbuh dalam hutan hujan Khatulistiwa.Isinya boleh dimakan secara mentah, tetapi jika dimakan secara berlebihan boleh menyebabkan mabuk atau pening. Buah perah boleh direbus atau di goreng dengan menggunakan pasir dan dibuat gulai. Dari segi rasa, buah ini lebih sedap dari pada buah berangan. Rasa makanan itu mungkin hanya akan menjadi kenangan bagi aku sahaja. Walau bagaimanapun yang masih kelihatan sekali-sekala di Pasar Besar Siti Khadijah ialah jering rebus.

                                                                     Buah perah
pokok dan buah jering
      Jering rebus dimakan bersama kelapa parut yang digaul dengan sedikit gula dan garam terlebih dahulu. Kadang-kadang aku menumbuk jering rebus dengan menggunakan lesung batu secara kasar-kasar sebelum dicicah kelapa parut. Jering sebenarnya dikelaskan sebagai racun sederhana kerana ia mempunyai asid djenkolik dan asid amino yang boleh menyebabkan keracunan.jering. Jering tua perlu direbus berjam-jam lamanya untuk membuang getah atau bisa jering supaya tidak mengalami KAPIT JERING atau kencing tidak lawas. Rasa sakit ketika membuang air kecil atau "kena dedas" memerlukan jering direbus dengan berbagai-bagai daun termasuk akar pokok kelapa, kulit jering, satu batang paku, sabut kelapa dan sedikit abu dapur untuk menghilangkan racun yang ada.

  Jering Relung-jering tua yang ditanam dalam pasir sehingga berakar dan dimakan  sebagai ulam

Jering Rebus
 
Jering Tua 
 
Jering Muda

INFO TAMBAHAN :
PERIBAHASA TANGKAI JERING/KETAM BATU MEMBAWA MAKSUD KEDEKUT MANAKALA PERIBAHASA GADUNG RASA UBI PULA MEMBAWA MAKSUD ORANG MISKIN YANG BERASA DIRINYA KAYA.


                                                                           SUMBER GAMBAR:IMEJ GOOGLE