Saturday 18 February 2012

kembara seorang pendikir


Menonton Majalah 3 yang memaparkan dikir dan blues, mengujakan aku untuk meneroka pemikiran pendikir tersohor Halim Yazid. Buah fikirannya tentang dikir barat dilontarkan dalam mencari akar umbi seni dikir yang dikatakan lahir dalam kalangan masyarakat marhaen, dalam memartabatkan seni warisan bangsa ke mata dunia dan suara-suara kebimbanganya tentang masa depan dikir barat.

      Halim Yazid yang sama-sama menimba ilmu di Universiti Malaya sekitar tahun 1980an ini kukenal sebagai seorang penulis puisi dan pendikir. Semasa terlibat dalam penerbitan majalah varsiti dan kolej kedua, aku mengenali beberapa nama seperti Mahaya Mohd. Yassin, Christine Ling, Awang Abdullah dan Halim Yazid. Mereka ini telah berjaya melakarkan nama dalam bidang masing-masing. Setelah berpuluh tahun tidak ketemu, saudara Halim Yazid telah menjadi salah seorang aset negara dalam seni dikir barat. Keberaniannya menjenamakan dikir barat tanpa melupakan asal usul seni ini adalah sesuatu yang boleh dibanggakan oleh rakyat Malaysia.

      Sebagai seorang penulis puisi, saudara Halim sudah pasti dapat bermain dengan kata untuk setiap hasil seninya. Dengan bakat yang sedia ada, penggarapan seninya menjadi lebih indah. Lirik-lirik dalam dikir baratnya mengandungi pelbagai mesej; pedoman tentang hidup, adab belajar, iktibar, nasihat, motivasi, sindiran, jenaka dan sebagainya. Dalam jenaka ada sendunya, dalam cerita ada iktibarnya, dalam lagu ada rindu, semangat dan ilmu. Bak kata orang "lagu dikirnya, macam-macam ada"

      Kebanyakan dikirnya mengupas tentang kehidupan dan persekitarannya. Penceritaannya secara santai mengajar anaknya tentang lesung batu dan 'blender' dalam dikir yang bertajuk "Berkecek Ngan Anak'. Sekadar menyebut koleksinya yang lain; "Dikir Tepung Kita", memperkenalkan masyarakat dengan pelbagai jenis kuih warisan. "Pesan ibu/mak" memberi peringatan kepada anak-anak dalam menjalani kehidupan." Al- Fatihah Untuk Ayah" menzahirkan pengorbanan seorang ayah yang tidak ternilai jasanya. "Seribu Erti" memberi kelainan dalam dikirnya dan ini merupakan antara buah tangan terbaik Halim Yazid selain daripada lagu" Anak Tupai". 

      Sesuatu yang tidak terlintas dalam pemikiran telah dilakukan oleh penggiat seni ini. Usaha untuk meberi nama kepada dikir barat sebagai seni yang ada harga dan statusnya perlu ada sokongan padu daripada semua pihak. Walaupun semangat saudara Halim sangat kental dalam memajukan seni warisan bangsa ini tetapi kekangan dana akan menyuram dan mengerhanakan dunia seni dikir barat.

      Saudara Halim Yazid yang tanah kelahirannya Pasir Putih, pasti terkena tempias darah Tok Janggut yang mengalir dalam setiap nadi kehidupannya dan ini akan memberikannya kekebalan agar tidak  mudah rebah pada setiap halangan. Tidak akan retak seribu pada setiap hentaman. Penggiat seni yang berwawasan ini akan meneruskan perjuangannya memartabatkan dan mengangkat seni dikir barat ke tempat yang sepatutnya...









                                                           SUMBER:IMEJ GOOGLE DAN YOU TUBE

Friday 17 February 2012

sidang cinta

dalam meditasi panjang
sebuah cinta terangkul
liuk lintuk si Sita Dewi
pada gendang seorang Rama
yang mengulit senaskhah rasa
dalam sebuah pesta cinta

bunga-bunga kasih 
gugur satu-satu 
memenuhi ruang hati seorang Anarkali
memenjaranya dalam istana cinta
dan terkubur
bersama bait-bait indah 
bicara sang putera 

pada seribu musim
telah ku hafal sebuah puisi cinta
seorang Uda kepada Daranya
sebuah warkah rindu yang tidak mati
dari Qais kepada Lailanya
lantas menjenguk rasa sedarku
 keagungan cinta kurniaan Ilahi

         menyusuri perjalanan cinta ini
     dengan iringan irama keramat
 bisa menyentuh rasa para rerama
      yang tiba-tiba bangkit pada wangian cinta
         menyebarkan puing-puingnya ke serata alam

sidang cinta ini
masih berlangsung
berabad disini
dilingkaran usia seorang insan
 engkau dan  juga aku.


                        rosa-rose


kehebatan cinta

Cinta kepada Allah dan Rasul adalah setinggi-tinggi cinta yang dimiliki manusia. Dalam kitab al-Quran pun ada menyebut "Orang-orang yang beriman itu sangat cinta kepada Allah" (al-Baqarah:165) Walau bagaimanapun seperti tulisan Hafizahril Hamid dalam catatannya "Kehebatan Cinta ....antara cinta dan air mata " cinta adalah anugerah Tuhan paling indah buat manusia. Sementelah manusia itu dijadikan berpasangan maka cinta tidak mengenal usia, pangkat dan harta kerana cinta juga nikmat hidup untuk dirasai ".
      Kebanyakan kisah cinta yang agung ini telah difilemkan dan menjadi tontonan ramai.Antaranya Laila Majnun, ( Laila dan Qais) Romeo dan Juliet, Pocahontas, Cleopatra dan lain-lain lagi. Kisah cinta mereka digarap dengan baik dan mampu membuat kita kagum akan kehebatan cinta mereka.
      Cinta tragis yang berakhir dengan kematian berlaku kepada Cleopatra dan Marc Anthony. Permusuhan dua keluarga besar Capulets dan Mountage telah mengorbankan Romeo dan Juliet.Cinta antara dua darjat masih megisi ruang masa kehidupan sehingga kini. Kisah Anarkali dan Putera Saleem pewaris takhta Empayer Mughal dan kisah Raja Edward dan Wallis Simpson mewakili cinta terlarang ini.
      Kekebalan cinta mereka memerlukan pengorbanan yang sangat besar. Raja Edward terpaksa melupakan takhta negara England yang akan diwarisinya kerana Wallis Simpson. Anarkali sanggup dikuburkan hidup-hidup demi menyelamatkan  putera yang dikasihinya daripada menerima hukuman mati kerana bercinta dengan orang yang tidak setaraf.
      Anarkali atau nama sebenarnya Nadira Begum diberi gelaran ini kerana kecantikannya, "like blossoming pomegranate" Legenda kisah cintanya dengan Putera Nuruddin Saleem yang akhirnya menjadi Maharaja yang terkenal dalam Empayer Mughal dengan gelaran Maharaja Jahangir akan diingat sebagai, "one of the most tragic love stories known to people". Lakaran cinta dalam empayer ini diteruskan dengan cinta Shah Jahan terhadap isterinya Mumtaz Mahal atau nama sebenarnya Arjumand Banu Begum sehingga melahirkan pembinaan monumen cinta Taj Mahal. Shah Jahan menzahirkan cinta mendalamnya dalam Taj Mahal yang mengambil masa 22 tahun untuk disiapkan dengan menggunakan 20,000 tenaga kerja.
                                                       
                                                                    Potret Anarkali


                              Keunikan Monumen Cinta Shah Jahan dan Mumtaz Mahal


                                                                         TAJ MAHAL




      Kekukuhan cinta Liu Guojiang dan Xu Chaoqin menjadikan mereka sangat tabah menghadapi keperitan hidup. Liu Guojiang memahat gunung yang mereka diami menjadi anak-anak tangga untuk memudahkan isterinya turun dan naik ke gunung. Tidak dapat kubayangkan kesukaran,kepayahan dan penderitaannya demi isteri tercinta. Anak-anak tangga ini telah dilestarikan oleh pemerintah China sebagai anak tangga cinta.
     Itulah kehebatan dan keajaiban cinta. Menyelongkar kisah cinta mereka(manusia) menjadikan perjalanan hidupku terhenti  seketika untuk mencium wangian cinta mereka dan menyebarkannya ke alam sejagat ini kerana kasih sayang bisa mengubah dunia yang semakin kejam rupanya.

                                            SUMBER GAMBAR:IMEJ GOOGLE

Thursday 16 February 2012

imej yang tercalar

Membaca cerpen tulisan Saifulizan Yahaya " Pertemuan dengan Kitul @ Kitol " mengingatkan kembali aku dengan kisah Si Kitol dan Raja Mendeliar dalam buku Sejarah Melayu @ Sulalatus Salatin


Pelbagai gelaran yang diberi kepada dua watak ini; pemfitnah, pembelot negara dan sebagainya. Fitnah si Kitol dan Raja Mendeliar menjadi sinonim kepada punca kejatuhan kerajaan Melayu Melaka. Hal ini turut tercatat dalam buku sejarah Tingkatan Satu. Kesultanan Melayu Melaka yang suatu ketika dahulu sangat gemilang dalam pelbagai aspek boleh jatuh angkara pemimpin, pembesar dan masyarakat yang mula alpa. Si Kitol dan Mendeliar merupakan watak antagonis yang bersekongkol dengan Portugis untuk kepentingan peribadi sehingga membawa kepada kejatuhan Melaka pada tahun 1511.
      Tetapi seperti yang dikaryakan oleh saudara Saifulizan si Kitol berkata ,"bukan aku sahaja yang bersalah yang menyebabkan bangsa itu kalah. Kau harus tahu bahawa bangsa itu sendiri yang menjadi puncanya".
       Dalam pengkisahan itu pelbagai warna watak dapat dilihat. Si Kitol dan Raja Mendeliar bagaikan gunting dalam lipatan. Berbekalkan nafsu amarah selepas mendengar fitnah dan berkonsepkan "bersultan
di mata dan beraja dihati", Sultan Mahmud membunuh seluruh ahli keluarga Bendahara Seri Maharaja, Tun Mutahir kecuali Tun Fatimah dan Tun Hamzah.
        Hasad dengki,tamak haloba, fitnah memfitnah, persaingan kuasa dan bertindak secara membabi buta semuanya tercalit dalam sejarah ini.Kitol dan Mendeliar akan terus diingat sebagai perosak negara.Watak-watak lain pun ada sumbangan masing-masing dalam melenyapkan sejarah Kesultanan Melaka dan menjadikan Melaka hari ini negeri yang tidak beraja. Sesuatu yang tragis untuk diingati. Walaupun peristiwa ini berlaku beratus-ratus tahun dahulu tetapi watak ini tidak pernah mati  dan masih hidup dalam kalangan kita. Nasib negara kita ditangan kita dan hanya kita yang akan menentukannya. Kita tidak mahu nasib kita kelak bagai ayam dalam kepuk mati kelaparan dan bagai itik di dalam air mati kehausan.
       Sekiranya kita tidak belajar apa-apa daripada peristiwa sejarah, maka kita berpotensi untuk mengulanginya semula.

                                                                                                         SUMBER:IMEJ GOOGLE

Wednesday 15 February 2012

Sebuah Penghayatan

Salam ukhwah buat saudara seagama.
.
Firman Allah SWT yang bermaksud "Dan tiadalah kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. (al-Anbiya':107)

Menelusuri sirah nabi dan kehidupannya, jelaslah segala yang ada pada Nabi Muhammad s.a.w adalah indah. Sebagai pemimpin yang terulung baginda berjaya membentuk masyarakat dengan kesempurnaan Islam yang syumul. Peranan nabi dalam menyebarkan dakwah islamiah di seluruh dunia sebagai agama rahmatan lil alamin amat dikagumi oleh para ilmuwan.(Inti pati daripada sebuah forum agama)

Dalam buku Rahsia Kejayaan Pengurusan Rasulullah penulisnya Muhammmad Abdul Jawwud mencatatkan; Baginda adalah junjungan seluruh umat manusia, guru sejati, pendidik dan pemimpin terbilang (Muhammad s.a.w is the supper leader, super manager and super entrepreneur..... Baginda merupakan suatu contoh dari pengaplikasian nilai-nilai Islam yang dapat dimanfaat di dalam segala liku kehidupan.

Jika didalam langkah kehidupan manusia terdapat teladan maka disana tidak ada suri teladan yang keagungannya melebihi daripada junjungan semua makhluk, nabi Muhammad s.a.w. Memandangkan keadaan umat Islam pada hari ini semakin menyimpang daripada jalan yang lurus, kita kembali saja kepada sunnah nabi dan al-Quran yang sudah pasti akan menjamin keutuhan dan kewibawaan kita dalam perjalanan yang seterusnya. Ingatan ini untuk diriku sendiri yang masih banyak kelemahan yang perlu diperbaik dan sahabat-sahabat yang sedia mengerti. 
Satu catatan daripada buku tersebut yang boleh dijadikan renungan buat kita semua ialah
" Sesungguhnya Islam adalah sebuah manhaj yang universal dan manhaj kehidupan. Ia adalah agama dan negara, ibadah dan muamalah, adat dan syariah"


kepada umat nabi Muhammad s.a.w
" hayatilah dan biarkan sunnah nabi dan al-Quran bermukim dalam kehidupan kita "





                                                                                                                     SUMBER:YOU TUBE

Tuesday 14 February 2012

Kemelut peribahasa

Begitu " huru hara" dunia peribahasa apabila dua peribahasa yang telah digunakan berkurun, baru disedari ada kesilapan dalam terjemahannya daripada tulisan Jawi kepada tulisan Rumi. Peribahasa Harapkan Pagar,Pagar Makan Padi dan Seperti Melepaskan Batuk di Tangga selama ini tidak tepat.Yang tepatnya mengikut penerangan di bawah: 

Harapkan pegar, pegar makan padi. Pegar sejenis burung yang memakan serangga dan biji-bijian. Dan bukannya Pagar. Pagar tidak mempunyai nyawa, dan tidak boleh makan !

Seperti melepaskan batok di tangga (batok bahasa Jawa bermaksud tempurung kelapa yang dibuat gayong. Sepatutnya batok itu diletakkan kembali di dalam tempayan setelah menggunakannya untuk membasuh kaki ketika hendak masuk ke dalam rumah)
Dan bukannya melepaskan batuk (sejenis sakit) di tangga !


ayam atau burung pegar jantan

ayam atau burung pegar betina




rupa paras batok


Tidak perlu menuding jari kepada sesiapa pun yang telah menyebabkan peribahasa tersebut termaktub dalam pelbagai buku peribahasa. Kita harus bergerak ke hadapan dengan membetulkan kesilapan tersebut, tetapi tanpa hitam putih daripada pihak yang sepatutnya "mindaku berlari, kakiku terhenti"
Tanpa mengharapkan nasib yang sama berlaku kepada Yang Kurik itu Kundi, Yang Merah itu Saga, kita semua mempunyai tanggungjawab untuk memastikan kebiasaan yang dibuat untuk Yang Kurik itu Kendi dibetulkan.

Kurik bermaksud bintik-bintik atau rintik-rintik manakala kundi (dalam masyarakat Minangkabau) adalah sejenis saga yang digunakan untuk menimbang emas.

'
rupa paras biji saga





Sebagai akhir kalam, renungkan-renungkanlah.....



                                                                              SUMBER:IMEJ GOOGLE

Monday 13 February 2012

ijab kabulmu

Semakin dekat hari yang mendatang,semakin terasa keluh kesahnya.Rupanya begitu banyak tugasan yang perlu dilangsai...Aku berdoa semoga segala-galanya dalam rahmatMu Ya Allah dan semua perancangan pada tarikh keramat itu akan berjalan dengan baik.Sewaktu menjejak ilmu di PSS ,aku terkedu dengan sebuah sajak IJAB KABUL yang dikaryakan oleh Umi Ammar.Penuh dengan bait-bait indah yang menggamit rasa seorang insan.Membaca dengan mata hati menjadikan sajak ini amat bermakna; penuh dengan tamsil, ibarat dan adab hidup berdua.

                          IJAB KABUL
Sebaik-baik terungkap ijab kabul
aku terima nikahnya........
akulah suami tempat isteri berteduh 
pohon rendang tegap menunjang
kok bergantung tak patah dahannya
kok berlindung tak tumbang banirnya
kok bernaung tak meranting pohonnya
akar melilit pengikat kasih dan sayang 
cinta terpasak tak gamak bertalak


sebaik-baik terungkap ijab kabul
aku terima nikahnya..............
akulah isteri tempat suami bermanja
tanah datar airnya jernih
'ke lurah sama dituruni-ke bukit sama didaki,
terjun sama basah- melompat sama patah,
terlungkup sama makan tanah
terlentang sama minum embun
terapung sama hanyut'
selagi nadi berdenyut- kasih tak surut
sayang tak tersukat- cinta dunia akhirat
segala dipinta akan diturut
selagi tak bercanggah pada syariat

Sebaik-baik terungkap ijab kabul
aku terima nikahnya..
ibu bapa mengharap doa makbul
hiduplah anaknya suami isteri
menganyam bahagia beranak bercucu
'serumpun bak serai- seikat bak lidi,
sekabit bak sirih- setali bak nyiur'
andai ada sengketa menerpa
Suami - tegur dengan kata
kaki dan tangan jangan naik ke muka
"Ular dipalu biar mati, kayu pemalu jangan patah"
tanah dipalu jangan lembang"
Isteri - sejukkan hati berbara dengan berdiam
"Berjalan peliharakan kaki,
berkata peliharakan lidah"
"Bagai menarik rambut dalam tepung,
rambut tak putus-tepung tak selerak"
sepenuh hati harapan tertumpah
inilah ijab kabul pertama dan terakhir
buat sepasang suami dan isteri...






Buat anakanda Mohd. Zaini dan Nor Anis Suriha yang bakal menjadi suami isteri tidak lama lagi -03.03.12

Friday 10 February 2012

Pembuka Bicara

assalamualaikum,

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Mengasihani. Segala Puji Bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan Sekalian Alam.(al-Fatihah:1-2)
     
Sesungguhnya yang baik itu datangnya dari Allah, manakala yang buruk datangnya dari hambaNya sendiri.