Sunday 29 April 2012

tanpa sebuah restu

Menonton  sebuah dokumentari dalam rancangan Discovery tentang "pendatang asing" di Sungai Illinois, cawangan Sungai Mississippi  di Amerika Syarikat  membuka minda sedarku tentang betapa berkesannya pendatang asing tersebut dalam menghuru-harakan kehidupan yang ada dalam aliran sebuah sungai .Segala-galanya bermula dengan kehadiran ikan kap yang didatangkan secara khas dari negara China untuk membantu membersihkan air tangki kolam ikan. Ikan kap yang hidup dalam air tawar ini terdiri daripada kap biasa, kap crucian, kap rumput dan kap kepala besar. Selain sebagai sumber makanan penting bagi manusia, ikan kap juga di pelihara sebagai ikan hiasan terutamanya ikan kap Jepun.

                                                                    Pelbagai jenis ikan kap









      Rentetan daripada percaturan yang tidak menjadi, ribuan ikan kap telah memenuhi Sungai Illinois. Ikan kap boleh menjadi sangat berbahaya kepada ikan air tawar yang lain. Mereka akan memakan tumbuh-tumbuhan air yang membekalkan oksigen dan sekali gus akan menyukarkan spesies ikan lain untuk mendiami habitat berkenaan. Ikan Kap Asia dikenali sebagai "terminator" bagi dunia ikan . Ia boleh membesar sehingga 1.2 meter dan 50 kilogram serta mempunyai nafsu makan yang sangat besar. Semua ini sudah pasti menghalang tumbesaran dan pembiakan spesies ikan jenis lain. Selain itu ikan kap Asia juga mempunyai keupayaan untuk melompat sehingga ke paras dua hingga tiga meter ke udara. Keadaan ini akan menyebabkan kecederaan kepada manusia dan menganggu bot-bot yang lalu di kawasan berkenaan termasuk menterbalikkannya.

     Fenomena beratus-ratus ekor ikan kap perak melompat-lompat di atas air seperti berpesta di Sungai Illinois terhasil daripada motor elekrik pemancing. Ikan ini menganggap getaran itu sebagai kehadiran pemangsa dan bertindak balas dengan melompat ke udara.

                                              " wild jumping carp on Illinois River-see it youself "


mengurangkan ikan kap dengan aktiviti "bowfishing"

                          ketakutan kepada ancaman ikan kap melahirkan "Redneck Tournament"



                                                         Fenomena ikan kap melompat



Saekor ikan kap Asia menampar muka seorang wanita semasa Program Sukan Memanah Ikan Kap di Sungai Illonois


        Kedatangannya walaupun pada peringkat permulaan diundang, tetapi setelah menyedari implikasi yang dibawa oleh hidupan ini menyebabkan kerajaan Amerika terpaksa mengeluarkan belanja jutaan ringgit untuk menyekat kehadiran ikan berkenaan .Antaranya, satu halangan elektronik telah dibina dengan menyalurkan arus elektrik dengan voltan yang tinggi untuk mengurangkan perjalanan si malang ini. Pemburuan ikan kap  juga dilakukan melalui Program Sukan Memanah dan Redneck Tournament.Tanpa sebuah restu sudah pasti kehidupan ikan kap gagal menemui kedamaiannya di Sungai Illonis.  

        Pendominan ikan kap di Sungai Illonois menimbulkan kebimbangan masyarakat Amerika. Kemampuan ikan kap untuk menghapuskan spesies ikan berharga di sungai itu terutamanya ikan sturgeon mengundang keresahan pelbagai pihak. Ikan yang dianggap ikan zaman pra-sejarah ini pernah berenang bersama dinosaur berjuta-juta tahun dahulu.Rupa ikan ini merupakan kombinasi antara ikan keli dan jerung. Ikan sturgeon ditangkap untuk mendapatkan telurnya, caviar kerana dapat memberi hasil pulangan yang besar. Kaviar merupakan makanan yang mahal dan mewah dan menjadi popular dalam kalangan golongan kaya kerana ia pernah menjadi makanan tsar-tsar yang memerintah Rusia.
                                                         
                                  Ikan sturgeon yang dianggap sebagai ikan zaman pra-sejarah





  Membelah ikan sturgeon untuk telurnya

       Caviar sebelum diproses

  

Caviar setelah diproses


Makanan yang mahal dan mewah- CAVIAR



      Aku membayangkan sekiranya "pendatang asing" dari Sungai Amazon, Amerika Selatan diseludup masuk ke negara ini untuk dijadikan ikan hiasan tetapi kemudiannya terlepas dalam aliran sungai yang ada di Malaysia. Spesies ganas Ikan Piranha merupakan sejenis ikan omnivor kecil air tawar yang tinggal secara berkumpulan di sungai-sungai di Amerika Selatan. Ikan ini mempunyai banyak gigi yang sangat tajam, deria bau yang sangat kuat dan menggemari darah. Piranha memburu secara bersama-sama dan memakan hasil buruan dengan rakus dalam sekelip mata sahaja. Seperti kehidupan ikan kap di Sungai Illonois, aku pasti ikan piranha juga tidak akan direstui kehadirannya di negara ini.


                                                                       " piranha scissors"


"piranha VS bird"




                                          Ikan piranha @ ikan bergigi @ ikan hantu @ caribes


ikan yang setajam pisau cukur sedang melahap mangsanya

      "Morale from the stories" dalam konteks yang lebih luas, kedatangan pendatang asing ke negara ini dalam jumlah yang begitu besar amat tidak disenangi . Pada hari ini fenomena kehadiran mereka yang memenuhi setiap ruang yang ada menyakitkan banyak hati. Walaupun isu ini telah dibincang dan dipolemikkan oleh pelbagai pihak tetapi masih tidak ada jalan penyelesaiannya. Kehadiran mereka Bagaikan Penuh Lagi Bersukat (telah habis tahap kesabaran). Kepada mereka yang memegang tampuk amanah "Tepuk Dada Tanyalah Selera" (Berfikir Dahulu Sebelum Membuat Keputusan) supaya "Nasi Tidak Menjadi Bubur" (sesuatu perbuatan yang sudah terlanjur tidak dapat dibaiki lagi).

                                                                  SUMBER GAMBAR:IMEJ GOOGLE DAN YOU TUBE
                                                                          


Sunday 22 April 2012

menjejak terowong masa

Tanah Serendah Sekebun Bunga, Negeri Cik Siti Wan Kembang, Serambi Mekah begitu sinonim dengan nama Negeri Kelantan Darul Naim. Cik Wan Kembang atau Cik Siti Wan Kembang yang pernah memerintah negeri ini tidak pernah berkahwin dan mempunyai seorang anak angkat yang bernama Puteri Saadong atau Puteri Wijaya Mala yang juga pemerintah terkenal negeri Kelantan."Paduka Cik Siti" mempunyai kijang yang amat disukainya. Gambar kijang ini telah di terap di atas wang emas dan diabadikan sebagai sebahagian daripada lambang kebesaran negeri. Terdapat pelbagai versi bagaimana Kelantan mendapat namanya; ada yang mengatakan daripada perkataan kilatan


      Kampung Paloh, Kampung Kota dan Kampung Pintu Geng  menyaksikan aku menginjak zaman kanak-kanak hinggalah ke alam kedewasaan. Kampung yang terletak dalam jajahan Kota Bharu ini  berhampiran antara satu sama lain.Kampong Paloh yang berdekatan dengan Kampung Sireh tidak banyak berubah wajah seperti jiran terdekatnya ini yang telah membangun dengan pesatnya di Lembah Sireh. Begitu juga dengan Kampung Pintu Geng yang masih seperti dahulu jika dibandingkan dengan tanah sempadannya iaitu Wakaf Che' Yeh yang menjadi tempat tarikan pelancong untuk singgah membeli-belah.



                                                              TEROWONG I

PALOH yang bermaksud lopak air atau tanah paya atau lekukan bumi dan seperti namanya, merupakan sebuah tempat yang rendah dan senang dinaiki air. Penduduk kampung yang sudah biasa dengan fenomena alam ini biasanya membina rumah yang sesuai dengan kedudukan kampung yang berhampiran dengan anak sungai. Pada masa tersebut jambatan yang menghubungi Kampung Paloh dan Kampung Pintu Geng belum lagi dibina.

      Ada dua peristiwa besar yang menggamit kenanganku di kampung ini. Dalam tahun enam puluhan, negara baru melalui zaman Darurat dan diisytiharkan bebas daripada ancaman komunis. Kemudian berlaku Peristiwa Konfrontasi antara Indonesia dan Malaysia. Peristiwa yang menggugat keselamatan negara ini  antara yang meninggalkan titik hitam dalam lipatan sejarah negara. Indonesia yang melancarkan konfrontasi (Ganyang Malaysia) terhadap Malaysia mula menyerang beberapa kawasan tanah air kita.Tempias peristiwa ini juga terkena kepada aku semasa "bersekolah menumpang" di sebuah sekolah rendah bangunan kayu di kampung itu. Siren  yang dibunyikan bukan menandakan berlakunya kebakaran tetapi sebagai latihan untuk menyelamatkan diri dan berjaga-jaga terhadap musuh negara. Apabila siren dibunyikan kami berlari  dengan pantas mengambil tempat seperti yang diarahkan oleh para guru. Konfrontasi turut mengingatkan kita kepada Peristiwa Kalabakan yang berlaku di Tawau, Sabah. Peristiwa yang memperlihatkan terkorbannya 8 orang anggota tentera kita termasuk Mejar Zainal bin Hj. Yaacob. Mereka diserang semasa sedang menunaikan solat. Walaupun dalam keadaan kurang bersedia, anggota-anggota platun telah menentang musuh yang berlipat ganda ramainya dengan penuh keberanian.Berbanding dengan Peristiwa Bukit Kepong peristiwa berdarah  ini kurang mendapat liputan yang meluas. Kita sepatutnya  menguar-uarkan cerita keberanian ini kepada generasi hari ini supaya mereka akan terus menyanjung jasa perajurit dalam menjaga kedaulatan negara.


Peristiwa Konfrontasi


      Peristiwa banjir besar yang berlaku sekitar tahun 1966 dan 1967 mengulangi kejadian alam yang pernah melanda negeri Kelantan pada tahun 1926. Pada tahun tersebut bencana bah besar atau Bah Merah telah membawa kerosakan besar dan kehilangan banyak nyawa. Bah Merah diberikan nama berikutan banjir nya yang luar biasa dan airnya yang berwarna seperti teh pekat bertukar kepada warna kemerah-merahan.Dalam sekejap masa air semakin naik, dan memenuhi setiap ruang di dalam rumahku. Air yang menggila sudah mencapai ke paras pinggang kami dan semua barangan yang di letak di atas meja makan sudah lenyap dibawa arus. Kami semua ketakutan, kesejukan dan keresahan menunggu bantuan. Akhirnya sampan tiba dan ayah menghulurkan kami daripada tingkap rumah. Bah yang sering melanda tempat kami menyebabkan ayah mengambil keputusan untuk berpindah ke Kampung Kota.

                                                  Banjir yang pernah melanda negeri Kelantan






TEROWONG II


KAMPUNG KOTA mendapat namanya daripada sebuah kota yang pernah dibina di mukim tersebut. Kota yang dinamakan Kota Jelasin dibina oleh Raja Abdullah, suami dan juga sepupu kepada Puteri Saadong pada tahun 1663. Dalam Hikayat Seri Kelantan dikatakan Raja Siam ingin memperisterikan Puteri Saadong yang tersohor dengan kecantikannya sehingga menyebabkan Cik Wan Kembang mengahwinkan anak angkatnya ini dengan Raja Abdullah dalam usia 15 tahun.

                                                             kedudukan Kota Jelasin

     Kota ini diukir dengan baik oleh tukang-tukang ukir yang mashyur. Sebuah kubu pertahanan dibina berhampiran dengan kota tersebut. Kota Jelasin yang maju dan makmur ini, pernah diserang oleh Raja Siam. Puteri Saadong kemudiannya di katakan menghilangkan diri dan Kota Jelasin menjadi semakin kucar kacir tanpa pemerintah. Kini Kota Jelasin hanya dikenali dengan nama Kota sahaja.

                                      gambaran rupa pemerintah raja perempuan di Kelantan
Makam Raja Abdullah yang dikatakan mangkat di tangan isterinya Puteri Saadong

      Kedudukan sekolah rendah Kota berhampiran dengan tapak Kota Jelasin. Tidak ada sesiapapun antara kami yang berani untuk melawat ke tempat tersebut walaupun dikatakan masih ada sisa-sisa peninggalannya seperti perigi. Nenek mengatakan tempat itu sangat keras dan melarang kami daripada menghampirinya. Walaupun ada keinginan untuk melihat sendiri tempat tersebut, tetapi ketakutan mengatasi segala-galanya. Hari ini aku tidak pasti sama ada telaga tersebut masih wujud atau tidak.
      Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Berhampiran degan rumahku terdapat kebun getah terbiar. Disitulah tempat aku melabuhkan kehidupan dengan mencari buah getah yang gugur untuk permainan lawan buah getah.Buah getah yang paling kebal mampu memecahkan buah getah pihak lawan.Di kawasan tersebut juga, terdapat buah mata ayam, buah senduduk, buah ulat bulu dan buah keriat yang boleh dijadikan makanan untuk mengalas perut buat seketika.

                      Buah mata ayam yang muda dan masak. Rasanya manis walaupun sedikit kelat.


Pokok senduduk
buahnya manis pahit dan apabila dimakan meninggalkan warna hitam dimulut

buah ulat bulu atau buah letup-letup
pokok keriat  yang kehadirannya semakin pupus

buah keriat dimakan dengan colek(campuran garam,gula,kicap atau cuka dan cili)

      Rumah nenek saudaraku pada waktu malamnya penuh dengan kanak-kanak. Kami semua datang untuk mendengar cerita yang telah di perturunkan kepadanya secara lisan.Aku menganggap nenek saudaraku seorang penglipur lara walaupun tidak tersohor. Penglipur lara yang dikenali dengan nama yang berbeza mengikut negeri merupakan tukang cerita yang hebat dan dikatakan penghibur perasaan dukacita. Itulah satu-satunya bentuk hiburan yang ada masa masa tersebut. Tanpa elektrik dan televisyen aku sempat mendengar pelbagai kisah dongeng  dan hikayat yang memerlukan kami ke rumahnya beberapa malam untuk mendengar sambungan cerita tersebut .Antara yang menarik perhatianku ialah cerita Anak Raja Gondang. Kelahiran seorang putera yang berupa gondang (sejenis hidupan air berbentuk bulat dan mempunyai cengkerang seperti siput kerang) telah mengundang musibah kepada keluarga raja ini . Anak Raja Gondang turut menjadi persembahan dalam Mak Yong

                                                                Siput Gondang Emas


Salah seorang Penglipur Lara.
                                                  

Persembahan Mak Yong Anak Raja Gondang.

      Berhampiran dengan kampungku, terbentang sawah padi yang luas dan sebatang tali air. Berjalan menyusuri tali air ini akan menemukan kami dengan beberapa buah kampung. Selepas musim padi, bendang menjadi tempat kami bermain. Masihku ingat di tepi sawah terdapat pokok kandis yang daun mudanya sering menjadi habuan kami. Asam kandis juga sama dengan asam gelugur yang akan dihiris nipis-nipis dan dijemur untuk mendapatkan produk baru iaitu asam keping. Pada waktu petang dengan angin bertiup sepoi-sepoi bahasa kami berlari-larian dan akhirnya berjaya menangkap belalang kunyit untuk dijadikan hidangan dan dimakan bersama nasi. 

              Belalang kunyit dan gorengannya turut menjadi santapan zaman kanak-kanakku




Buah asam kandis


dihiris dan dijemur menjadi asam keping

buah asam gelugur 





                                                           TEROWONG III


Perpindahan ke KAMPUNG PINTU GENG terpaksa dilakukan setelah berlakunya konflik keluarga. Tidak dapat kubayangkan kesukaran dan kesusahan pada waktu itu. Tetapi seperti lirik sebuah lagu lama " barang yang lepas jangan di kenang, sudah menjadi hak orang lain"  Cerita yang diperturunkan mengenai kampung ini dibawa dari mulut ke mulut. Suatu ketika dahulu terdapat sebuah istana yang didiami oleh satu keluarga diraja. Keluarga diraja tersebut bertanggungjawab untuk mentadbir kawasan ini. Untuk memasuki istana tersebut, sesorang itu perlu melalui sebuah pintu besar. Pada waktu malam pintu tersebut seringkali berbunyi "geng" seolah-olah pintu itu di tolak. Bertitik tolak daripada cerita inilah Kampung Pintu Geng mendapat namanya.
     Kampung ini terletak agak berhampiran dengan Sungai Kelantan.Sebelum dataran sungai ini dibangunkan sebagai pusat perniagaan yang besar, penduduknya memajak tanah untuk menanam Timun Cina (panggilan orang Kelantan untuk buah tembikai) Ibu saudaraku juga turut menanam tembikai merah dan kuning. Melihat pokok tembikai yang melata dengan buahnya yang tergolek sejauh mata memandang, matahari yang semakin terbenam dan angin nyaman daripada Sungai Kelantan merupakan nostalgia yang paling indah buat aku. Menikmati buah tembikai yang manis dalam redup petang memang mengasyikkan. Walau bagaimanapun sejenis tembikai yang tidak dapat diterima oleh anak tekakku ialah timun betik.Timun ini lebih sedap dimakan bersama santan pekat dan gula melaka.

                                                  Timun Cina atau Tembikai



timun betik dan menunya.
Sungai Kelantan pada ketika itu banyak ETOK atau ETAK: sejenis hidupan yang bercengkerang seperti kerang yang hidup di dalam air tawar. Etok dimakan sebagai makanan ringan atau bersama nasi kerabu. Setelah membersihkan etok, kita perlu memerapkannya dengan garam, bawang putih, halia ,serai dan sedikit perisa. Etok perlu disalai atau dijemur di bawah panas matahari terik sebelum dimakan. Selain itu etok juga boleh dimasak ketuk serai atau masak lemak putih.
     Aku juga turut mencari etok dengan hanya menggunakan tangan sahaja sewaktu air sungai sedang surut. Nelayan pula mengokok etok dengan menggunakan peralatannya.Pada musim etok, kami beramai-ramai ke sungai untuk mendapatkan makanan istimewa ini 

                                    Etak mengalami proses pengeringan di bawah panas terik matahari
                                                          Etak sedang disalai
                                                  Enak di makan bersama nasi kerabu
                                                              etak siap untuk dimakan

Mengokok etak
alat pengokok etak
mencari etak
      Kebelakangan ini sewaktu pulang ke kampung halamanku di Kampung Pintu Geng, aku jarang-jarang dapat menikmati makanan ringan ini. Hidupan air ini dikatakan semakin pupus kerana aktiviti mengambil pasir dan pencemaran sungai. Pencari etak kadang-kadang terpaksa melangkaui batas sempadan sehingga ke Sungai Perak dan Terengganu untuk mendapatkan bekalan etok. Di Pahang, orang ramai tidak dibenarkan mengutip etak di dalam sungai bagi mengelakkan kepupusannya kerana etak menjadi sumber makanan ikan patin yang menjadi sumber pendapatan rakyat negeri itu.

                                       TEROWONG IV
      Kembali aku pada masa kini untuk mengingatkan generasiku supaya meneruskan kelestarian alam demi kesinambungannya pada masa hadapan.

                                                                       SUMBER GAMBAR:IMEJ GOOGLE