Monday 26 November 2012

harga seorang remaja

Perjalanan hidup ini sering diselubungi dengan pelbagai rencah kehidupan. Kegembiraan, penderitaan, keperitan, kebahagiaan datang bersilih ganti, bagaikan sebuah roda kehidupan sekejap berada di atas dan sekejap berada di bawah. Walau apapun kehidupan yang kita lalui, keberkatan hidup dengan berpandukan al-Quran dan hadis harus dijadikan agenda utama agar kita tidak tersasar, terpesong dan menyimpang dari jalan lurus yang sepatutnya kita lalui. Dalam memilih tujuan hidup kita tidak harus lari daripada matlamat kejadian manusia itu sendiri. Mengikut firman Allah Subhanhu Wataala " Dan tidak akan dijadikan jin dan manusia, kecuali untuk beribadah kepada ku" (Surah Al-Dzaariyat:56)

          Kata Lao Tze, perjalanan seribu langkah bermula dengan satu langkah. Langkah pertama yang dipilh mestilah diseimbangkan antara keperluan jasmaniah dan rohaniah. Sekiranya hanya aspek jasmaniah yang diberikan penekanan maka akan berlakulah kekosongan jiwa. Jadi tidak hairanlah sekiranya, kita hanya melahirkan produk yang ada jasadnya, tetapi tiada roh atau jiwanya. Kebejatan sosial yang berlaku pada hari ini berkaitan dengan akhlak buruk yang menjadi dominan para remaja hari ini. Untuk membentuk akhlak yang baik memang sukar tetapi setiap individu Muslim mestilah berusaha ke arah membentuk kesempurnaan akhlak seperti yang dituntut oleh agama Islam.

          Mengikut Cecil B.Demille, orang yang berjaya dalam hidupnya adalah orang yang nampak tujuannya dengan jelas dan menjurus kepadanya tanpa menyimpang. Peribahasa jika menebang menuju ke pangkalnya, jika melanting menuju ke tangkainya (sesuatu yang dilakukan mesti ada tujuannya) juga menunjukkan keperluan mempunyai matlamat dalam hidup dan membuat perancangan untuk mencapainya. Remaja yang bermatlamat, perlu menghindari daripada membuat kerja secara sambil lewa dan tidak bersungguh-sungguh yakni seperti melepaskan batuk di tangga. Remaja yang memulakan sesuatu pekerjaan hendaklah menyempurnakannya sampai ke akhir, bak kata khazanah bahasa jika pandai menggunting hendaklah pandai menjahit. Dalam hal ini, remaja sepatutnya berpegang kepada peribahasa: alang-alang berdakwat biar hitam, alang-alang berminyak biar licin, alang-alang mandi biar basah dan alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan( mengerjakan sesuatu janganlah separuh jalan atau tidak bersungguh-sungguh, kalau tidak matlamat tidak akan 
tercapai)

          Peranan akhlak dalam menentukan sahsiah seseorang tidak bolah dinafikan lagi kepentingannya. Kata al Gahazali "hidup biar beradab, bukan hidup untuk biadap" Akhlak yang buruk itu ibarat tembikar yang pecah; tidak dapat dilekatkan dan tidak dapat dikembalikan menjadi tanah lagi. Kita tidak mahu melahirkan generasi yang beraja di hati dan bersultan di mata (mengikut kehendak hati sendiri) ataupun mereka yang bercermin di air keruh (mencontohi perbuatan yang kurang baik) dan mereka yang belum bertaji hendak berkokok ( belum berilmu sudah menyombong). Kita juga sudah pasti tidak mahu remaja yang di luar bagai madu tetapi di dalam bagai hempedu (pada zahirnya rupa baik tetapi sebenarnya jahat). Tuntasnya, remaja yang sentiasa berpaksikan hukum Allah dalam kehidupannya pasti dapat menjadi insan terpilih  untuk meneruskan legasi dalam menyebarkan keindahan Islam dan dakwah kepada orang lain.

     Generasi yang baik merupakan mereka yang belum dipanggil sudah datang, belum disuruh sudah pergi (orang yang rajin dan arif). Tutur katanya, bagai lautan madu yang berpantaikan sakar (perkataan yang manis-manis keluar daripada orang yang elok rupa dan pekertinya). Mereka ini bagai menelan mestika embun (mendengar nasihat yang baik) dan dalam membuat sesuatu pekerjaan, mereka berhambakan tangan, bersaksikan mata dan berhakimkan hati (berfikir semasak-masak sebelum membuat sesuatu perkara) Mereka tidak menyombong diri walaupun berilmu dan berkedudukan tinggi kerana mereka sedar, ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya . Dalam kehidupan mereka tidak membawa resmi lalang tetapi membawa resmi padi yang semakin berisi semakin tunduk (semakin banyak ilmu dan semakin tinggi pangkat tetapi semakin merendah diri)

     Sekiranya remaja yang ingin di anjung seperti payung dan di ambah seperti kasur, (dimuliakan orang lain) mereka hendaklah mengisi kehidupan bukan sahaja dengan ilmu duniawi tetapi juga harus membangunkan hati dan penghayatan rohaniah. Remaja yang berwawasan mempunyai cita-cita untuk dicapai kerana mereka sedar tanpa cita-cita, seorang remaja akan berjalan tanpa noktah dan penghujungnya dan kalau belayar umpama pelayaran yang tidak berpelabuhan.  Golongan berkesedaran tinggi ini  tahu, sekiranya mereka hanya mengharapkan masa depan tanpa pernah melabur potensi diri pada hari ini, ibarat seorang petani yang mengharapkan tuaian tanpa pernah menyemai benihnya. Ironinya, hanya remaja yang sedar dan  sentiasa berusaha akan berjaya meningkatkan status dan pencapaian diri bak kata peribahasa  dari segenggam jadi segantang (bertambah baik) Oprah Winfrey seorang "presenter " dan antara wanita terkaya di dunia pernah berkata " Tiada masalah siapa anda dan dari mana anda berasal. Kemampuan untuk bangkit dan menang berasal daripada diri anda sendiri"

          Intihannya, remaja yang telah berjaya boleh diumpamakan yang di makan rasa, yang di lihat rupa dan yang di dengar bunyi (tiap-tiap pekerjaan dilaksanakan dengan sempurna dari segi rupa, pendengaran dan perasaan) Penetapan harga diri seseorang remaja bergantung kepada tindakan mereka dalam mencari identiti diri yang selari dengan hukum syarak yang telah ditetapkan, suri teladan dan qudwah/uswah hasanah yang baik. Pilihan yang tepat akan melahirkan insan yang mulia dan mempunyai nilaian yang tinggi bukan sahaja kepada remaja itu sendiri malah kepada masyarakat yang memiliki permata tersebut. Sesungguhnya madu satu tong, jikalau rembes, rembesnya madu juga dan benih yang baik sekiranya jatuh ke laut akan menjadi pulau. Teruskan menjadi insan yang cemerlang, yang mendapat keberkatan dan  keredaan Allah.