Apa yang terbuku dalam hati sekian lama, telah diluahkan oleh seorang Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamaddun Melayu. Tanpa disedari manik-manik air mata membasahi kelopak mataku. Pernyataan yang diberi oleh seorang rakyat Malaysia yang berbangsa Cina benar-benar memberi satu dimensi yang perlu difikirkan oleh semua pihak terutama mereka yang berbangsa Cina mahupun yang berbangsa India. Apa yang terbelenggu dalam hatiku dan mereka yang sealiran pemikiran tidak dapat dinyatakan dalam realiti kehidupan, kerana sebarang peryataan daripada mereka yang berbangsa Melayu ini mungkin dilihat sebagai unsur sensitif yang melibatkan sentimen perkauman. Bangsa Melayu yang masih kekurangan sifat " kurang ajarnya" akan mengambil kira pelbagai faktor sebelum meluahkan segala keresahan yang terpenjara dalam benak fikiran. Hakikatnya kota perpaduan ini bukan milik satu bangsa, tanah yang menjadi tumpah darah kita inilah yang perlu kita curahkan kasih dan sayang tanpa ada sebarang warna sengketa. Apa yang dikata itulah yang dikota seperti kata peribahasa mulut terlanjur emas tentangannya ( Perkataan yang diucapkan hendaklah ditunaikan)
Antara kenyataan yang dibuat oleh Prof. Datuk Dr Teo Kok Seong ialah masyarakat Cina khususnya Dong Zon perlu sedar tidak ada negara lain di dunia yang membenarkan kaum Cina terus hidup sebagai "Cina" kecuali di Malaysia. Di Indonesia dan Thailand, orang Cina perlu menukar nama dan tiada sekolah Cina di negara tersebut. Di Malaysia, " kita boleh jadi orang Cina, pergi ke sekolah Cina dan merayakan apa-apa sahaja perayaan " Menurut beliau lagi, realiti masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dengan orang Melayu merupakan pemilik kuasa dominan perlu diakui semua pihak termasuk masyarakat Cina. Selain itu Datuk Dr. Teo juga memberi komen tentang pelantikan menteri kabinet yang tidak fasih berbahasa Mandarin yang dibangkitkan oleh Dong Zon. Bagi beliau ini bukan merupakan satu isu besar malah menempelak pihak tersebut dengan menganggap perkara ini melampau kerana orang Cina yang tidak fasih berbahasa Melayu tidak diungkit. Walaupun negara telah 55 tahun menikmati kemerdekaan, masih ada yang tidak boleh bercakap dan memahami bahasa Melayu. Penggunaan bahasa Melayu juga tidak wajar di pertikaikan kerana bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia adalah bahasa Melayu.
Mengingatkan soal perpaduan yang semakin longgar meresahkan aku. Toleransi yang dicanai pada awal kemerdekaan bagaikan senjata yang makan tuannya.( sesuatu yang dipergunakan untuk alasannya tetapi mengena diri sendiri) Di pentas kehidupan, kita menyaksikan lakonan jelik yang memaparkan kukuhnya perpaduan pada bahagian kulit luarnya sahaja, sedangkan dalamannya penuh kekusutan, kelukaaan, kebencian dan pelbagai titik prasangka. Bagaikan sebuah fata morgana , boleh dilihat di kejauhan, tetapi apabila menghampirinya ia hanya sebuah ilusi .Perpaduan pelbagai kaum merupakan satu utopia sekiranya kita semua tidak mengatur langkah yang lebih baik daripada semalam. Kita tidak mahu ada dalam kalangan kita yang yang bertelunjuk lurus tetapi kelingkingnya berkait ( orang yang nampak baik tetapi busuk hatinya) Peribahasa lain yang lebih kurang maksudnya ialah musang berbulu ayam, (orang yang jahat dan curang) seperti talam dua muka, seperti yu kia-kia, kepala yu, ekor pari dan pepet di luar runcing di dalam.
Terima kasih Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong kerana menjelaskan pendirian dan pendekatan beliau yang berpegang kepada " di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung" atau "di mana ranting dipatah, di situ air disauk" ( Hendaklah menurut adat dan aturan tempat yang kita diami) Terima kasih juga kepada mantan pensyarah sejarahku ketika di Universiti Malaya dahulu.
Terima kasih Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong kerana menjelaskan pendirian dan pendekatan beliau yang berpegang kepada " di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung" atau "di mana ranting dipatah, di situ air disauk" ( Hendaklah menurut adat dan aturan tempat yang kita diami) Terima kasih juga kepada mantan pensyarah sejarahku ketika di Universiti Malaya dahulu.
Renung-renungkanlah bicara Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim : Masyarakat Cina tidak faham pentingnya perpaduan kerana semangat perkauman dalam jiwa mereka masih tebal sejak memasuki Tanah Melayu sehingga hari ini, kata pakar sejarah, Prof. Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim. Beliau menyifatkan pengundi Cina sebagai rasis apabila tidak berusaha untuk memakmurkan semangat masyarakat majmuk yang sentiasa disuarakan oleh pemimpin negara termasuk ketika di bawah penjajahan British.
Intihannya, misi perpaduan kaum perlu menjadi agenda utama bagi setiap warganya yang menganggap bumi Malaysia sebagai tanah azimat mereka.Kita adalah ibarat telur sesangkak, pecah sebiji pecah semuanya Di tangan kitakah negara akan mengalami kemusnahan dan kehancuran? Segala-galanya bukan sesuatu yang mustahil seandainya kita menjadi duri dalam daging atau menjadi gunting dalam lipatan. Sekiranya kita tegar bermain api dan mengambil pendirian menikam dari belakang sebuah tragedi bakal berlangsung dan yang paling sadis ialah apabila ia berlaku bukan di tangan penjarah tetapi ditangan penghuninya sendiri.
Sesungguhnya, segenggam lidi sukar dipatahkan berbanding dengan sebatang lidi dan kota perpaduan akan dapat dibina apabila semua pihak hidup serumpun bak serai, selubang(seliang) bak tebu (Bersatu dalam segala hal; muafakat dan seia sekata)
Sesungguhnya, segenggam lidi sukar dipatahkan berbanding dengan sebatang lidi dan kota perpaduan akan dapat dibina apabila semua pihak hidup serumpun bak serai, selubang(seliang) bak tebu (Bersatu dalam segala hal; muafakat dan seia sekata)