Meneliti lirik lagu R.Azmi ....".dari kerana mata ..yang mempunyai kuasa...oh aku tergoda..aku tergoda...terkecewa...dari kerana mata....." jelas membayangkan peranan mata dalam menilai seseorang individu baik dari segi rupa maupun sahsiah diri. Lagu Serunai Malam juga memperkatakan perkara yang sama "Dari mana datang rasa kasih sayang, Dari mata ke hati lalu dikenang" Intihannya, dari pandangan mata akhirnya muncullah kasih sayang dan seterusnya membunga dalam hati setiap insan yang mendiami alam sejagat ini.
Lagu R.Azmi Dari Kerana Mata yang kemudiannya dinyanyikan semula oleh
Allahyarham Sudirman
Kecantikan seseorang merupakan sesuatu yang abstrak.Penilaian kecantikan bagi sesuatu masyarakat mungkin berbeza walaupun tinggal di bumi yang sama.Cantik pada pandangan mata kita tidak semestinya cantik pada pandangan orang lain. Bertuahlah kepada mereka yang dianugerahkan Allah dengan kecantikan tubuh badan yang ramping, pipi bak pauh dilayang, hidung bak seludang kelapa, bibir bak delima merekah dan rambut bak mayang mengurai. Ini merupakan bonus yang harus dihargai serta disyukuri dan bukannya untuk diperagakan,diegokan dan ditakburkan.Dalam masyarakat Melayu kecantikan paras rupa dinilai berserta dengan budi bahasa
Perempuan yang cantik tanpa nilai budi dianggap sebagai Bunga Dedap(orang yang cantik tetapi tidak berbudi bahasa) Lebih malang lagi kepada perempuan yang tidak tahu menjaga maruah diri diberi gelaran Bunga Sundal Malam. Beberapa peribahasa yang dikaitkan dengan kecantikan wanita ialah Bulan Penuh, Bagai Bulan Empat Belas, Bagai Bulan Purnama Serupa Burak, Seperti Emas baru Di Sepuh, Seperti Telur Dikupas dan Seperti Bulan Dipagar Bintang. Peribahasa China "Chen Yu Luo Yan " mengatakan gadis yang memiliki kecantikan luar biasa membuatkan ikan tenggelam ke dasar sungai dan angsa yang terbang jatuh ke tanah. Di Brunei, peribahasa yang menunjukkan kecantikan perempuan yang sudah di solek "Bagai bulan penuh mengambang di kaki langit"
Masyarakat di seluruh dunia mempunyai tafsiran sendiri mengenai kecantikan.Pentakrifan kecantikan yang menjadi ukuran bagi mencapai tahap kesempurnaan adalah berbeza-beza berdasarkan benua yang di diami dan nilai tradisi sesuatu bangsa itu sendiri.
Berleher Jenjang
Lawatan ke Utara Chiengmai membuka peluang untuk aku melihat sendiri kehidupan suku kaum Lisu, Karen, Lahu, Akha, Hmong dan Suku Yao. Suku Karen merupakan suku yang paling unik sehingga digelar "Long neck". Dileher wanita suku Karen dipasang logam berwarna keemasan .Gelang ini berfungsi untuk membentuk leher dan kaki mereka agar lebih panjang, kerana menurut adat mereka semakin panjang leher wanitanya maka mereka dianggap semakin cantik. Berat gelang besi di leher wanita dewasa mencapai lima kilogram dan gelang kaki di bawah lutut berat masing-masing satu kilogram. Gelang tersebut mula dipakaikan sejak mereka berusia lima tahun. Pada peringkat awal hanya dua hingga tiga gelang dan akan ditambah dari masa ke masa sehingga mereka dewasa. Pekerjaan Kaum Karen ialah menenun kain selain daripada bercucuk tanam.
Berleher panjang mirip si burung Phoenix
Anak Suku Karen yang mula memakai gegelang leher
Antara suku yang tinggal di utara Chiengmai
Cuping Telinga Panjang
Orang Ulu( Kayan, Kenyah, Penan atau Kelabit) di Sarawak pula menganggap cuping telinga yang panjang melambangkan kecantikan dan menambahkan penampilan mereka. Secara tradisi ibu bapa mula menebuk dan meregang cuping telinga bayi mereka yang masih berumur beberapa bulan dengan memakai anting-anting loyang berat yang diperbuat daripada tembaga atau anting-anting lain.Seperti juga Kaum Karen, berat anting-anting akan ditambah dari semasa hingga ke semasa sehingga ke paras bahu si pemakai. Wanita Orang Ulu menganggap semakin panjang cuping telinga mereka semakin menyerlahlah kecantikan mereka, walaupun proses memanjangkan cuping telinga rumit dan menyakitkan(cucuk telinga menggunakan buluh yang ditajamkan seperti jarum. Walau bagaimanapun tradisi ini semakin hilang kerana generasi muda enggan mewarisi tradisi ini.
Orang Ulu di Sarawak
Berbibir Lebar
Bagi Suku Mursi di Ethiopia, lambang kecantikan kaum wanita ialah bibir yang lebar. Tradisi yang dikenali dengan istilah "Labret" ini dilakukan dengan cara membuat lubang di bahagian bawah bibir semacam ditindik selebar satu hingga dua sentimeter lalu meletakkan piring bulat di dalamnya. Setiap dua hingga tiga minggu mereka menggantikan piringan dengan diameter yang lebih besar. Ini berlangsung sehingga bibir mencapai 15 hingga 25 sentimeter. Tradisi ini biasanya dilakukan para wanita sejak usia 13 hungga 16 tahun ataupun menjelang hari perkahwinan mereka
Suku Musi
Berkaki Kecil
Tidak dapat kubayangkan kesakitan yang dialami oleh wanita China dalam merealisasikan apa yang dipanggil kuntuman teratai tiga inci. Tradisi membenngkung kaki di China merupakan terjemahan kepada kecantikan, kewanitaan dan keayuan. Tanpa kaki kecil bersaiz tiga inci, tiada lelaki yang akan masuk meminang. Sebaik sahaja anak-anak perempuan mencecah usia lima atau enam tahun , ibu atau nenek sudah mula membendung kaki mereka. Jari-jari kaki dipatahkan dan dilipat kebawah tapak kaki.Selepas itu dibalut dengan kain sepanjang sepuluh inci. dan selebar dua inci .Kaki yang dibengkung akan diperketatkan dari semasa ke semasa sehingga mencapai saiz yang dikehendaki. Foot Binding atau Pengikatan Kaki adalah tradisi dalam masyarakat China pada zaman dahulu.
cantik yang menyakitkan
memiliki kaki tiga inci-kuntum teratai tiga inci
Berbadan Gemuk
Nilai kecantikan bagi wanita di Mauritania terletak kepada individu yang gemuk kerana bagi mereka obesiti merupakan kecantikan yang sejati. Untuk itu wanita mudanya dipaksa mengamalkan amalan tradisi yang dikenali sebagai leblouh (dipaksa makan). Kanak-kanak perempuan dipaksa makan berlebihan seawal usia lima tahun sehingga menampakkan lemak-lemak di sekitar perut, lengan dan paha. Proses penggemukan ini dikatakan boleh meningkatkan berat kanak-kanak berumur 12 tahun kepada 80 kilogram. Gadis tersebut perlu minum 20 liter susu unta setiap hari serta pelbagai makanan lain yang dicampur mentega..Bagi masyarakat Mauritania wanita kurus dianggap berpenyakit dan miskin manakala wanita gemuk dianggap benar-benar hidup gembira dan merupakan lambang kekayaan.
Obesiti sinonim dengan kecantikan |
Menyumbat Hidung
Lain halnya dengan Suku Apatani atau Tani di India yang menyumbat hidung sebagai salah satu cara untuk melindungi diri. Perempuan Apatani selalu diculik oleh kaum lain di sekitar kawasan mereka. Oleh itu untuk membuat mereka kelihatan tidak menarik, maka wanita itu mula menyumbat hidung mereka dengan cara yang mengerikan dan menmbuat tatoo wajah mereka dengan garis "horizontal" dari dahi hingga ke hujung hidung serta garis di dagu meeka.
Isu kecantikan tidak pernah usai daripada kamus kehidupan seorang wanita .Selagi dunia berputar selagi
itulah kecantikan menjadi keutamaan dunia wanita.Bagi seorang muslimah keinginan untuk mencantikkan diri mestilah selari dengan syariat Islam.Penonjolan kecantikan budi pekerti akan menyerlahkan lagi imej dan penampilan diri seseorang wanita.
SUMBER GAMBAR:IMEJ GOOGLE DAN MILIK PERIBADI
Salam Ukhwah... sangat bagus info ini.. suka..:)) terima kasih sudi add sha yaa.. sha dah add sini.. tq..:))
ReplyDeletesalam ukhwah juga.Terima kasih untuk sha juga.teruskan penulisan...akak suka
Delete