Menonton Majalah 3 yang memaparkan dikir dan blues, mengujakan aku untuk meneroka pemikiran pendikir tersohor Halim Yazid. Buah fikirannya tentang dikir barat dilontarkan dalam mencari akar umbi seni dikir yang dikatakan lahir dalam kalangan masyarakat marhaen, dalam memartabatkan seni warisan bangsa ke mata dunia dan suara-suara kebimbanganya tentang masa depan dikir barat.
Halim Yazid yang sama-sama menimba ilmu di Universiti Malaya sekitar tahun 1980an ini kukenal sebagai seorang penulis puisi dan pendikir. Semasa terlibat dalam penerbitan majalah varsiti dan kolej kedua, aku mengenali beberapa nama seperti Mahaya Mohd. Yassin, Christine Ling, Awang Abdullah dan Halim Yazid. Mereka ini telah berjaya melakarkan nama dalam bidang masing-masing. Setelah berpuluh tahun tidak ketemu, saudara Halim Yazid telah menjadi salah seorang aset negara dalam seni dikir barat. Keberaniannya menjenamakan dikir barat tanpa melupakan asal usul seni ini adalah sesuatu yang boleh dibanggakan oleh rakyat Malaysia.
Sebagai seorang penulis puisi, saudara Halim sudah pasti dapat bermain dengan kata untuk setiap hasil seninya. Dengan bakat yang sedia ada, penggarapan seninya menjadi lebih indah. Lirik-lirik dalam dikir baratnya mengandungi pelbagai mesej; pedoman tentang hidup, adab belajar, iktibar, nasihat, motivasi, sindiran, jenaka dan sebagainya. Dalam jenaka ada sendunya, dalam cerita ada iktibarnya, dalam lagu ada rindu, semangat dan ilmu. Bak kata orang "lagu dikirnya, macam-macam ada"
Kebanyakan dikirnya mengupas tentang kehidupan dan persekitarannya. Penceritaannya secara santai mengajar anaknya tentang lesung batu dan 'blender' dalam dikir yang bertajuk "Berkecek Ngan Anak'. Sekadar menyebut koleksinya yang lain; "Dikir Tepung Kita", memperkenalkan masyarakat dengan pelbagai jenis kuih warisan. "Pesan ibu/mak" memberi peringatan kepada anak-anak dalam menjalani kehidupan." Al- Fatihah Untuk Ayah" menzahirkan pengorbanan seorang ayah yang tidak ternilai jasanya. "Seribu Erti" memberi kelainan dalam dikirnya dan ini merupakan antara buah tangan terbaik Halim Yazid selain daripada lagu" Anak Tupai".
Sesuatu yang tidak terlintas dalam pemikiran telah dilakukan oleh penggiat seni ini. Usaha untuk meberi nama kepada dikir barat sebagai seni yang ada harga dan statusnya perlu ada sokongan padu daripada semua pihak. Walaupun semangat saudara Halim sangat kental dalam memajukan seni warisan bangsa ini tetapi kekangan dana akan menyuram dan mengerhanakan dunia seni dikir barat.
Saudara Halim Yazid yang tanah kelahirannya Pasir Putih, pasti terkena tempias darah Tok Janggut yang mengalir dalam setiap nadi kehidupannya dan ini akan memberikannya kekebalan agar tidak mudah rebah pada setiap halangan. Tidak akan retak seribu pada setiap hentaman. Penggiat seni yang berwawasan ini akan meneruskan perjuangannya memartabatkan dan mengangkat seni dikir barat ke tempat yang sepatutnya...
SUMBER:IMEJ GOOGLE DAN YOU TUBE
No comments:
Post a Comment