Tuesday 4 December 2012

...........pada lontaran kata dan lantunan bicaramu

Pendekatan masyarakat Melayu dalam membuat teguran kepada tingkah laku devian dalam masyarakat biasanya dibuat secara halus dan "berlapik' atau "beralas" .Norma kehidupan yang menyimpang daripada kelaziman dikritik dengan menggunakan prosa atau puisi tradisional. Misalnya kalau kita meneliti Seloka Emak Si Randang jelas ada pengajaran yang tersirat di dalamnya:

                            Baik budi Emak si Randang
                            Dagang lalu ditanakkan
                           Tiada kayu rumah diruntuhkan
                           Anak pulang kelaparan
                           Anak dipangku diletakkan
                           Kera di hutan disusui
                           Dagang pergi awak terhutang
                           Beras habis padi tak jadi

          Seloka ini jelas menempelak mereka yang berbudi kepada orang lain sehingga mengabaikan keperluan diri dan keluarga. Rumus yang boleh kita peroleh daripada seloka ini ialah buat baik berpada-pada,buat jahat jangan sekali (melakukan kebaikan janganlah berlebih-lebih, tetapi perbuatan jahat jangan sekali-kali dilakukan). Sekiranya dikaji secara mendalam, setiap warisan prosa dan puisi lama terselit unsur didaktik yang mengajar manusia dalam tindakan dan semasa mengendalikan kehidupan termasuk interaksi sosial dengan orang lain.

          Peribahasa Melayu banyak memperkatakan tentang MULUT, LIDAH dan TUTUR KATA. Atas kesedaran bahana yang boleh menimpa masyarakat akibat tersalah kata, banyak peribahasa yang boleh dikaitkan dengannya. Antara peribahasa yang meminta kita supaya berhati-hati sebelum bercakap kerana  apabila tersilap kata atau sudah terlanjur tidak dapat ditarik balik lagi ialah terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya ATAU terlangsung perahu boleh balik, terlangsung cakap tak boleh balik. Peribahasa kerana mulut badan binasa ( mendapat kecelakaan kerana perkataannya) jelas mengajak manusia untuk menjaga deria mulut sehinggakan pujangga pernah bermadah mulut kamu harimau, kamu mengerkah kepala kamu (kata-kata yang membinasakan diri)

          Perkataan yang dilontar dan bicara yang dilantun hendaklah dijaga supaya tidak berlaku sudah patah baru hendak melantai (sesudah mendapat kesusahan baru hendak beringat-ingat) Kata orang semasa bercakap memandang-mandang, silap lidah jiwa hilang atau bercakap siang pandang-pandang, bercakap malam pandang-pandang (berhati-hati apabila bercakap tentang hal orang lain)
Sekiranya kita tidak ada adab berlisan, kita mungkin akan termasuk dalam belukar onak (terlibat dalam kesusahan dan tidak dapat melepaskan diri). Kita juga berkemungkinan mengalami hidup yang tidak tenang atau sangat gelisah kerana kesilapan dalam tutur kata, seperti terpijak bara hangat atau seperti cacing kepanasan.

          Walaupun lidah satu organ yang lembut dan tidak bertulang, tetapi bagi bijak pandai mereka mengumpamakan lidah itu lebih tajam daripada mata pedang. Lidah boleh memuliakan dan mengangkat maruah seseorang dan pada ketika lain mampu untuk menghina dan menjatuhkan seseorang. Justeru, "lidah yang tidak bertulang jika salah petik (gerak lidah) jiwa hilang" (orang yang mendapat malang kerana tidak tahu menjaga tutur katanya) Antara hadis yang dikaitkan dengan lidah ialah "kebanyakan dosa anak Adam kerana lidahnya (HR: Thabrani dan Baihaki). Selain itu Abu Darda juga berkata "gunakanlah kedua-dua telingamu daripada mulutmu, kerana engkau diberi dua telinga dan satu mulut agar engkau lebih banyak mendengar daripada berbicara"  dan "barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirnya maka hendaklah berkata baik atau diam (kalau tidak dapat berkata baik"(HR: Bukhari dan Muslim)

          Menjaga lidah memang tidak mudah. Salah satu impak daripada bahaya lidah adalah fitnah. Tuduh menuduh, fitnah memfitnah, umpat mengumpat bagaikan sudah menjadi senario biasa dalam kehidupan. Mereka menggunakan platform rangkaian sosial yang ada seperti telefon bimbit, Facebook, twitter, sms, internet dan instrumen-instrumen lain bagi merangsang dan menyuburkan budaya negatif ini. Walaupun mulut tertutup erat dan lidah tidak menggerakkan kata, mereka dengan laju menekan aksara satu demi satu untuk mengaibkan orang lain. Adakah cara telah menghalalkan tujuan? Pokok pangkalnya tanpa berpegang kepada tali Allah segala-galanya mungkin dan fitnah akan terus berleluasa pada abad ini.

     Sekiranya mendapat maklumat yang belum tentu lagi kesahihannya, proses menyaring maklumat perlu dilakukan secara rasional. Dengan asas yang kukuh dan bukti yang benar sahaja membolehkan kita membezakan antara yang hak dan yang batil.  Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat, ayat 6 " WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN, JIKA DATANG KEPADA KAMU SEORANG FASIK MEMBAWA SESUATU BERITA, MAKA SELIDIKLAH (UNTUK MENENTUKAN) KEBENARANNYA, SUPAYA KAMU TIDAK MENIMPAKAN SESUATU KAUM ITU DENGAN PERKARA YANG TIDAK DIINGINI, DENGAN SEBAB KEJAHILAN KAMU (MENGENAINYA) SEHINGGA KAMU MENYESALI PERKARA YANG KAMU LAKUKAN" Kita tidak mahu menjadi seperti kata peribahasa "Gar-gar kata gelegar, rasuk juga yang menahannya"(percaya akan kata-kata orang akhirnya diri sendiri yang akan menanggung akibatnya) dan " kalau sudah calit jangan palit" ( membabitkan orang lain dalam kesalahan yang kita lakukan)

     Sesungguhnya, kata orang tua-tua "kalau berjalan peliharakan kaki, kalau berkata peliharakan lidah" ( beringat-ingat apabila membuat sesuatu) dan kekuatan ummah untuk membentengi diri daripada berbuat fitnah terhadap orang lain ialah dengan mengingati firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 191 "FITNAH ITU LEBIH BESAR DOSANYA DARIPADA MEMBUNUH" dan hadis Riwayat Muslim "DARIPADA HUZAIFAH BIN AL-YAMAN R.A. NABI MUHAMMAD S.A.W BERSABDA: "TIDAK MASUK SYURGA ORANG YANG SUKA MENGACUM (MENYEBAR FITNAH) dan "DARIPADA ABU HURAIRAH R.A, NABI S.A.W BERSABDA: TIDAKLAH, SEORANG HAMBA YANG MENUTUP KEAIBAN HAMBA YANG LAIN MELAINKAN ALLAH AKAN MENUTUP KEAIBANNYA PADA HARI KIAMAT"

         AKU MEMOHON KEAMPUNAN DARIPADAMU , YA ALLAH. Sesungguhnya yang baik itu datangnya daripada Allah, yang buruk itu datangnya daripada hambaNya sendiri.

          

No comments:

Post a Comment