Monday 19 March 2012

Menterjemah hijau daunmu

Sejenis pokok yang menjalar dan boleh mencapai ketinggian 10 hingga 15 kaki ini , mempunyai daun yang berwarna hijau gelap, bersaiz kira-kira 18 sentimeter panjang dan 12 sentimeter lebar.Inti kepada pokok ini ialah daun sirih atau piper betle yang mempunyai pelbagai peranan dalam kehidupan manusia terutama di kawasan Asia Tenggara dan negara India.




                             
      Sejak zaman berzaman daun sirih dipilih sebagai salah satu lambang adat orang Melayu. Dalam upacara pertunangan dan perkahwinan, sirih junjung dijadikan kepala hantaran dan merupakan bahan wajib  dalam masyarakat Melayu. Dalam perubatan tradisional pula sirih digunakan khusus untuk mengubati pelbagai jenis penyakit. Bahan yang ada dalam sirih dikatakan dapat merawat penyakit tertentu dan masih digunakan sehingga hari ini. Sirih juga dijadikan snek oleh para marhaen seperti nelayan yang membawanya sebagai bekalan ke laut dan petani selepas penat bekerja di bendang. 

Daun sirih disantap sebagai pembuka kata, ketika tetamu datang bertandang khasnya jika berbincang sesuatu perkara. Sirih akan dikunyah bersama:

      BUNGA CENGKIH

  
PINANG
   TEMBAKAU

GAMBIR

                                                                          KAPUR
                                                          
      Kepentingan sirih dan tepak sirih tercatat dalam sejarah kesultanan Melayu Melaka. Hang Tuah dikatakan telah memberikan Hang Jebat sepiak sirih di dalam tepak sirih kepunyaan Sultan Mahmud semasa berhenti rehat dalam pertarungannya dengan Hang Jebat. Selepas itu Hang Tuah berjaya merampas keris Taming Sari dan membunuh Hang Jebat yang dikatakan menderhaka kepada sultan.Dua buah tepak sirih yang diperbuat daripada emas bernama Puan Bujur dan Puan Naga Taru masih tersimpan sebagai khazanah berharga kesultanan Perak hingga kini. Jadi jelaslah bahawa sirih bukan sahaja digunakan oleh rakyat kelas bawahan malahan golongan bangsawan juga. Kebiasaannya sirih dimakan dalam kalangan raja di istana sebagai santapan waktu rehat. 

        Perkataan sirih sentiasa mendapat tempat dalam penulisan puisi tradisional termasuk dalam peribahasa. Antara peribahasa yang dikaitkan dengan sirih;
1. Sirih berlipat dengan sendiri- Mendapat orang yang dicintai atau keuntungan dengan mudah.
2. Sirih naik, junjungan naik-     Mendapat untung dan bahagia silih berganti
3. Sirih naik junjungan patah-    Baru hendak mendapat kesenangan, tiba-tiba mendapat bencana
                                                     pula.
4. Sirih pulang ke gagangnya-     Kembali ke tempat asalnya.
5. Seikat bagai sirih, serumpun bagai serai/Sekebat bagai sirih- Seia-sekata.Bersatu padu dalam
                                                                                                          segala hal

Lagu Sekapur Sirih Seulas Pinang menterjemahkan sirih sebagai bekalan kepada pahlawan yang akan berangkat ke medan perang; menguatkan semangat juang para pahlawan bangsa.

Tuesday 13 March 2012

......dan menarilah jari jemarimu II

Berbicara pasal seni , kita dihidangkan dengan pelbagai bentuk seni daripada seni kraf tangan hinggalah kepada seni bina. Kita dapat menyaksikan betapa kreatifnya mereka. Di hujung jari mereka terukir seni yang mengkagumkan. Selari dengan jiwa dan perasaan, mereka dapat menghasilkan karya yang tinggi nilainya dan memberi kepuasan kepada para pencinta seni.
     Sejak terbentuknya tamadun, kita diwariskan dengan pelbagai hasil seni yang menakjubkan. Tanpa teknologi tinggi mereka mampu menghasilkan seni bina yang kadang-kadang tidak tercapai akal dan kemisteriannya masih tidak dapat dirungkai sehingga kini.
     Antara seni yang masih mendapat tempat di negara ini ialah seni ukiran kayu. Ukiran kayu menjadi hiasan penting dalam pembinaan istana, masjid, rumah dan wakaf. Kita juga dapat melihat ukiran pada ulu keris, gayung, rehal Quran, pengukur kelapa dan sebagainya. Kebanyakan seni ukir di negara ini mengambil motif flora dan fauna, kosmos, geometri, seni khat atau kaligrafi dalam penghasilan seninya. Seni ukiran kayu memerlukan kemahiran memilih kayu, memproses kayu dan melukis motif ukiran sehinggalah mengukir silat dengan menggunakan pemahat dan pisau wali. Selain itu daya kreativiti dan pemikiran yang mendalam terhadap sesuatu menambahkan bonus dalam penciptaaan seni ini.

                                                                     Ukiran rehal

                                                 Ukiran pohon beringin dalam wayang kulit

    Ukiran tebuk

                                                             Ukiran yang berseni

  ukiran khat@ kaligrafi

                                                  Motif flora dan fauna dalam seni ukiran

     Tukang ukir pada masa dahulu di tempatkan di sekitar istana atau rumah pembesar supaya mereka mudah dijemput oleh raja atau pembesar pada bila-bila masa diperlukan. Walau bagaimanapun nasib tukang ukir ini lebih baik daripada pengukir atau arkitek pada masa dahulu. Contohnya apabila Taj Mahal siap dibina, dikatakan Shah Jehan telah menjatuhkan hukuman pancung ke atas arkiteknya. Disamping itu kesemua penukang-penukang yang terlibat dalam pembinaan bangunan itu dipotong tangan supaya mereka tidak dapat membina bangunan yang dapat menandingi Taj Mahal.
     Warisan seni ada di tangan kita. Mereka yang tersohor dalam seni ukiran kayu misalnya Wan Su Othman, Abdul Rahman Long dan Nik Rasyidin telah meninggalkan kita, tapi bak kata pepatah "yang patah akan tumbuh, yang hilang akan berganti.".Pengukir hebat seperti Wan Mustafa Wan Su (Wan Po) dan Norhaiza Nordin akan meneruskan agenda untuk memakmurkan seni ukiran kayu 
     Kata Muhammad Nasir bin Hamzah, pengumpul keris dan al-Quran lama, "Bayangkan jika piramid di Mesir diruntuhkan,adakah pelancong akan berkunjung ke negara itu? Sudah pasti tidak kerana mereka kehilangan tradisi yang menjadi tarikan utama. Dalam konteks Malaysia, kita pasti tidak dapat menyajikan bangunan kerana Singapura lebih hebat.Apa yang dapat kita sajikan ialah tradisi dan kesenian." 





SUMBER:IMEJ GOOGLE DAN YOU TUBE

.........dan menarilah jari jemarimu

Masyarakat Melayu kaya dengan warisan seni dan budaya termasuk kraf tangan, tenunan, tekatan, anyaman serta ukiran kayu dan logam. Bakat mereka dalam mencipta, mengukir, menenun, menekat dan sebagainya merupakan anugerah Allah yang tidak ternilai harganya.Kepada yang terpilih ini, jari jemari halusnya akan terus berkarya dalam ruang lingkup pilihan seni mereka.
     Melalui pemerhatian yang mendalam terhadap sesuatu perkara ditambah dengan bakat yang sedia ada , mereka berjaya menghasilkan seni yang mempunyai nilai estetika yang boleh dibanggakan.Kepada insan pilihan ini, Faridah Mahmud, Azlita Aziz dan teman lain yang sealiran teruskan kesinambungan warisan bangsa ini dan biarkan jari halusmu terus berkarya atas nama seni.

Buah-buahan yang diukir indah

Ukiran halwa betik semanis rupanya 

 buah pinang, gambir dan kapur menjadi ukiran bunga yang berseni


 Sirih junjung gubahan Faridah Mahmud

 Azlita Aziz yang kreatif dan berimaginasi tinggi

                                                                             SUMBER IMEJ GOOGLE, MILIK PERIBADI

Friday 9 March 2012

Permata bahasa

Kita sebenarnya mempunyai permata bahasa yang tidak ternilai harganya. Di dalam kotak khazanah bahasa, kita miliki pelbagai bahasa berirama antaranya pantun, syair, gurindam, seloka, talibun, nazam, mantera dan sebagainya. Beridentitikan lakaran bahasa yang cukup indah, sarat dengan ilmu, pengajaran dan tauladan, khazanah bahasa ini dapat diangkat sebagai salah satu warisan bahasa yang hebat dan mengkagumkan. Kumpulan puisi yang mempunyai lenggok seni dan iramanya yang tersendiri ini menambahkan meritnya dari segi keindahan bunyi semasa dilagukan.
      Puisi tradisional menggabungkan antara estetika bahasa dan ketinggian nilai-nilai budi serta kesantunan orang Melayu. Dalam koleksi puisi lama, pantun mempunyai martabatnya yang tersendiri sebagai warisan Melayu yang sangat tinggi nilainya. Dato' Dr. Hassan Ahmad mencatatkan " Pantun merupakan wadah yang digunakan oleh orang Melayu untuk mengungkapkan fikiran dan rasa hati tentang makna kehidupan, tentang kelakuan manusia dan hubungannya dengan alam sekitar".
      Tema puisi meliputi seluruh pengalaman hidup manusia. Isi kandungan puisi walaupun mengandungi teguran tetapi disampaikan secara 'berlapik" supaya yang dinasihati tidak akan menjeruk rasa dan berdendam kesumat. Penyampaiannya secara halus melalui bahasa yang berangkap mempamerkan akar budi Melayu yang sebenarnya dan falsafah hidup bermasyarakat. Maka tepatlah dikatakan puisi lama merupakan cerminan masyarakat Melayu kita. Mengkaji puisi tradisonal umpama menyusuri budaya bangsa itu sendiri.


Antara talibun dalam warisan puisi lama

Menyahut panggilan apabila dipanggil ke istana


Pukul tabuh larangan 

Palu gong pelaung 

Titir canang pemanggil 

Yang capik datang bertongkat 

Yang buta beraba-raba 

Yang tuli leka bertanya 

Yang kecil terambin lintang 

Yang jarak tolak-tolakan 

Yang pendek bertinjau-tinjau 

Yang kurap mengekor angin 

Yang pekak pembakar meriam 

Yang buta pemghembus lesung 

Yang lumpuh penghalau ayam 

Yang pekung penjemuran 

Yang kurap pemikul buluh

Gurindam 12 Raja Ali Haji merupakan antara gurindam yang tersohor.Mengandungi 12 fasal yang sarat dengan falsafah hidup yang boleh dijadikan iktibar buat semua.

Apabila banyak berkata-kata,

di situlah jalan masuk dusta.

Apabila banyak berlebih-lebihan suka,
itulah tanda hampir duka.

Apabila kita kurang siasat,
itulah tanda pekerjaan hendak sesat.

Apabila anak tidak dilatih,
jika besar bapanya letih.

Apabila banyak mencela orang,
itulah tanda dirinya kurang.

Apabila orang yang banyak tidur,
sia-sia sahajalah umur.

Apabila mendengar akan khabar,
menerimanya itu hendaklah sabar.

Apabila mendengar akan aduan,
membicarakannya itu hendaklah cemburuan.

Apabila perkataan yang lemah-lembut,
lekaslah segala orang mengikut.

Apabila perkataan yang amat kasar,
lekaslah orang sekalian gusar.

Apabila pekerjaan yang amat benar,
tidak boleh orang berbuat onar. 


Antara pantun yang indah ciptaannya.

Kajang tuan kajang berlipat ,
            Kajang hamba mengkuang layu ,
     Dagang tuan dagang bertempat, 
        Dagang hamba terbuang lalu .




Seloka Pak kaduk yang dilagukan

SUMBER:IMEJ GOOGLE DAN YOU TUBE