Friday 9 March 2012

Permata bahasa

Kita sebenarnya mempunyai permata bahasa yang tidak ternilai harganya. Di dalam kotak khazanah bahasa, kita miliki pelbagai bahasa berirama antaranya pantun, syair, gurindam, seloka, talibun, nazam, mantera dan sebagainya. Beridentitikan lakaran bahasa yang cukup indah, sarat dengan ilmu, pengajaran dan tauladan, khazanah bahasa ini dapat diangkat sebagai salah satu warisan bahasa yang hebat dan mengkagumkan. Kumpulan puisi yang mempunyai lenggok seni dan iramanya yang tersendiri ini menambahkan meritnya dari segi keindahan bunyi semasa dilagukan.
      Puisi tradisional menggabungkan antara estetika bahasa dan ketinggian nilai-nilai budi serta kesantunan orang Melayu. Dalam koleksi puisi lama, pantun mempunyai martabatnya yang tersendiri sebagai warisan Melayu yang sangat tinggi nilainya. Dato' Dr. Hassan Ahmad mencatatkan " Pantun merupakan wadah yang digunakan oleh orang Melayu untuk mengungkapkan fikiran dan rasa hati tentang makna kehidupan, tentang kelakuan manusia dan hubungannya dengan alam sekitar".
      Tema puisi meliputi seluruh pengalaman hidup manusia. Isi kandungan puisi walaupun mengandungi teguran tetapi disampaikan secara 'berlapik" supaya yang dinasihati tidak akan menjeruk rasa dan berdendam kesumat. Penyampaiannya secara halus melalui bahasa yang berangkap mempamerkan akar budi Melayu yang sebenarnya dan falsafah hidup bermasyarakat. Maka tepatlah dikatakan puisi lama merupakan cerminan masyarakat Melayu kita. Mengkaji puisi tradisonal umpama menyusuri budaya bangsa itu sendiri.


Antara talibun dalam warisan puisi lama

Menyahut panggilan apabila dipanggil ke istana


Pukul tabuh larangan 

Palu gong pelaung 

Titir canang pemanggil 

Yang capik datang bertongkat 

Yang buta beraba-raba 

Yang tuli leka bertanya 

Yang kecil terambin lintang 

Yang jarak tolak-tolakan 

Yang pendek bertinjau-tinjau 

Yang kurap mengekor angin 

Yang pekak pembakar meriam 

Yang buta pemghembus lesung 

Yang lumpuh penghalau ayam 

Yang pekung penjemuran 

Yang kurap pemikul buluh

Gurindam 12 Raja Ali Haji merupakan antara gurindam yang tersohor.Mengandungi 12 fasal yang sarat dengan falsafah hidup yang boleh dijadikan iktibar buat semua.

Apabila banyak berkata-kata,

di situlah jalan masuk dusta.

Apabila banyak berlebih-lebihan suka,
itulah tanda hampir duka.

Apabila kita kurang siasat,
itulah tanda pekerjaan hendak sesat.

Apabila anak tidak dilatih,
jika besar bapanya letih.

Apabila banyak mencela orang,
itulah tanda dirinya kurang.

Apabila orang yang banyak tidur,
sia-sia sahajalah umur.

Apabila mendengar akan khabar,
menerimanya itu hendaklah sabar.

Apabila mendengar akan aduan,
membicarakannya itu hendaklah cemburuan.

Apabila perkataan yang lemah-lembut,
lekaslah segala orang mengikut.

Apabila perkataan yang amat kasar,
lekaslah orang sekalian gusar.

Apabila pekerjaan yang amat benar,
tidak boleh orang berbuat onar. 


Antara pantun yang indah ciptaannya.

Kajang tuan kajang berlipat ,
            Kajang hamba mengkuang layu ,
     Dagang tuan dagang bertempat, 
        Dagang hamba terbuang lalu .




Seloka Pak kaduk yang dilagukan

SUMBER:IMEJ GOOGLE DAN YOU TUBE

No comments:

Post a Comment