Membaca buku Buruh Paksa, Landasan Kereta api Maut Thailand-Burma 1942-1945 terbitan Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, mengingatkan aku kepada cerita ibu tentang kehidupannya semasa zaman pemerintahan Jepun. Ibu yang tinggal di sebuah kampung di daerah Pasir Mas, sering diminta oleh bapanya untuk menjaga tanaman sayur-sayuran mereka kerana tentera Jepun ini akan menghulurkan sedikit wang kepada kanak-kanak sepertinya sebagai tukaran kepada sayur tersebut. Walau bagaimanapun episod duka keluarga ibu mulai dirasa apabila abang iparnya yang juga seorang petani turut ditangkap oleh tentera Jepun untuk menjadi buruh paksa bagi membina jalan kereta api sejauh 415 kilometer dari Nong Pladuk, Kanchanaburi, Thailand ke Thanbyuzat di Burma untuk merealisasikan misi penting mereka menakluki negara India melalui Burma.
Penderitaan kakaknya kerana kehilangan suami yang hanya beberapa bulan melayari kehidupan berumah tangga semakin berganda selepas kematian anak pertama yang baharu dilahirkan. Seingat aku emak saudara yang sempat kukenali pada zaman kanak-kanak ini hilang penglihatannya dan amat takut dengan bunyi halilintar yang membelah bumi. Aku tidak pasti punca traumanya dan berasa sedikit terkilan kerana tidak sempat untuk bertanya kisah yang sangat mendukacitakanya ini. Kata ibu, kesedihannya yang melampau telah menyebabkan dia tidak lagi dapat melihat dunia ini. Ini merupakan sebahagian kecil kisah penderitaan manusia pada masa pendudukan Jepun. Seorang perempuan yang bernama Shaodah binti Ibrahim, cantik dan putih melepak ini sudah tiada lagi di dunia ini dan bersama-samanya terkubur penderitaan kehilangan yang tragis dalam kehidupannya.
Buku teks sejarah yang digunakan pada hari ini tidak memaparkan maklumat secara terperinci zaman pendudukan Jepun.Untuk mendalami perasaan dan memahami penderitaan, kezaliman dan kekejaman mereka, aku bermula dengan novel Nyawa di Hujung Pedang. Hobi suka membaca novel semasa zaman kanak-kanak membawa aku merasai keperitan hidup , mengenali istilah tali barut dan penyiksaan orang Jepun yang memaksa tahanannya untuk minum air sabun, memijak perut mereka dan membenamkan hujung benetnya yang tajam kepada sesiapa sahaja yang menentang Jepun.
Buku sastera sejarah yang memaparkan kehidupan semasa zaman pendudukan Jepun
di Tanah Melayu
Buku sastera sejarah yang memaparkan kehidupan semasa zaman pendudukan Jepun
di Tanah Melayu
Imej kekejaman mereka, semakin terserlah melalui dokumentari The Long March from Sandakan atau Sandakan Death Marches dan Sook Ching Massacre atau The Singapore Chinese Massacre. Paparan tentang pembinaan jalan kereta api maut melalui filem The Bridge on The River Kwai semakin menjelaskan senario yang berlaku pada waktu itu. Filem yang memaparkan kisah yang sadis ini telah berjaya menerima "seven academy awards including best picture"
Sandakan Death March Memorial
Sandakan-Ranau Death March
The Singapore Chinese Massacre
Filem terbitan tahun 1957 berdasarkan catatan penulis Perancis, Pierre Boulle
Stesen kereta api Ban Pong merupakan tempat buruh paksa dan tawanan perang dari Singapura dan Tanah Melayu diturunkan untuk memulakan pekerjaan membina landasan kereta api. Menurut catatan dalam buku yang diterbitkan oleh pihak Muzium Negeri Kelantan ini, pelbagai masalah telah menghantui pembinaan jalan kereta api maut ini. Ketidakcekapan pengurusan telah berlaku setelah Lt. General Shimida Nobua dan 11 orang pakar dalam bidang ini terkorban dalam nahas kapal terbang di kawasan pergunungan berhampiran Three Pagoda Pass. Kematian mereka menyebabkan kerja-kerja pembinaan diuruskan oleh orang muda yang tidak berpengalaman Keadaan semakin rencam apabila kerja-kerja berat dilakukan oleh buruh-buruh paksa yang tidak mahir terutamanya dari Kelantan yang kebanyakannya terdiri daripada petani dan nelayan.
Antara pekerjaan berat yang dilakukan: menebang pokok-pokok besar, membersih kawasan laluan, meneres lereng-lereng bukit, menimbus kawasan-kawasan rendah, menyusun landas(sleeper), mengangkut rel kereta api, mengangkut batu-batu dan membina jambatan. Bayangkan betapa sukar dan tersiksanya mereka menjalankan kerja-kerja tanpa bantuan alat teknologi canggih dan hanya berbekalkan kudrat yang ada Tidak sanggup aku bayangkan kehidupan yang terpaksa mereka lalui. Pada aku, fasa yang mereka jalani sepanjang tempoh tersebut dengan bertemankan hutan hujan tropika yang begitu tebal, tempat penginapan yang daif dan sesak, makanan dan ubatan yang tidak mencukupi , terdedah kepada pelbagai penyakit dan siksaan bukan sahaja amat kejam malah di luar batas-batas kemanusiaan.
Rakaman peristiwa perjalanan maut
Buku Buruh Paksa turut memaparkan temu bual dengan Muhammad bin Awang salah seorang buruh paksa yang terlibat dalam pembinaan jalan kereta api maut.
"semasa dalam perjalanan , kezaliman sudahpun berlaku. Mereka hanya diberi makan sekali sehari. Buruh-buruh ditempatkan di rumah panjang iaitu bangsal buluh yang beratapkan daun sagu atau nipah dan berlantaikan buluh. Setiap bangsal dimuatkan lebih kurang 100 orang.(setiap orang mempunyai satu meter keluasan tempat penginapan ini) Mereka diarahkan membuat pelbagai kerja. Mereka dikawal oleh tentera Jepun dengan keras. Jika mereka melakukan kesalahan, lambat atau letih mereka akan dipukul dengan buluh, rotan atau di tampar. Selain daripada makan minum yang tidak mencukupi mereka juga menghidap pelbagai penyakit seperti demam malaria dan cirit birit. Ubat-ubatan tidak mencukupi dan kematian berlaku bila-bila masa. Buruh yang mati diisi ke dalam guni dan ditanam dimerata-rata tempat. Ada yang ditanam, dibakar atau dihanyutkan ke sungai"
Pembacaanku terhenti seketika, fikiranku menerawang . Ingatanku penuh dengan teka-teki .Apakah ini yang dialami oleh suami emak saudaraku? Hati semakin sayu, aku terasa bersatu dengan sejarah kereta api maut ini. Untuk pembinaan Jambatan Kereta api di atas Sungai Kwai saja dikatakan telah mengorbankan ribuan tawanan perang dan buruh paksa semasa mereka menjalankan kerja-kerja pembinaan jambatan dan landasan disekitarnya. Sepanjang tempoh tersebut seramai 16,000 orang tawanan perang dan lebih 100,000 orang buruh dari Asia meninggal dunia dan hilang. Angka sebenar orang-orang Asia meninggal tidak dapat dikesan dengan tepat kerana rekaod-rekod yang mengandungi maklumat ini telah dimusnahkan oleh pihak pentadbiran Tentera Jepun pada akhir Perang Kedua.
jambatan yang dibina merentasi Sungai Kwai (lama dan baharu)
SUMBER GAMBAR: IMEJ GOOGLE
macam mane untuk kite dapatkan buku-buku tu? adakah masih dijual? dan dimana bole dibeli?
ReplyDeletemana nak carik buku2 ni admin
ReplyDeleteBapaku (Siron bin San Othman) adalah salah seorang yg terlibat dalam peristiwa itu...arwah bapaku sempat bercerita peristiwa tersebut kpd aku..sememangnya memilukan. ..
ReplyDeleteBapaku (Siron bin San Othman) adalah salah seorang yg terlibat dalam peristiwa itu...arwah bapaku sempat bercerita peristiwa tersebut kpd aku..sememangnya memilukan. ..
ReplyDeleteBapaku (Siron bin San Othman) adalah salah seorang yg terlibat dalam peristiwa itu...arwah bapaku sempat bercerita peristiwa tersebut kpd aku..sememangnya memilukan. ..
ReplyDelete