Saturday 7 April 2012

di sebalik sebuah nama: k.a.d.u.k


Pokok Kaduk di Taman Herba sekolah begitu subur hidupnya.Bagaikan peribahasa kaduk dapat baja (orang yang tidak berguna tetapi amat lama hidupnya), pokok ini sebenarnya memang tidak memerlukan baja untuk tumbuh  merimbun. Kaduk yang seiras rupanya dengan sirih ini digunakan dalam masakan dan perubatan tradisional.Tumbuhan yang bersifat melata ini tidak layak untuk mempunyai junjung seperti mana pokok sirih yang lebih " tinggi darjatnya." Peribahasa kaduk naik junjung yang bermaksud orang hina dimuliakan menyebabkan dia lupa diri menjelaskan lagi  kedudukan daun kaduk yang tidak setanding dengan daun sirih. Kedudukan pokok kaduk boleh diterjemahkan bagai melukut di tepi gantang.
      Nama kaduk juga mengingatkan aku akan kisah pertarungan dan persabungan ayam Pak Kaduk. Individu yang bernama Pak Kaduk yang begitu sinonim dalam masyarakat Melayu sebagai watak yang suka berjudi dan menyabung ayam sehingga mengalami nasib malang. Apa yang berlaku dijelaskan dalam Seloka Pak kaduk:
                Aduhai malang Pak Kaduk
                Ayamnya menang kampung tergadai
                Ada nasi dicurahkan
                Awak pulang kebuluran
                Mudik menongkah surut
                Hilir menongkah pasang
                  Ada isteri dibunuh
                  Nyaris mati oleh tak makan
                  Masa belayar kematian angin
                  Sauh dilabuh bayu berpuput
                  Ada rumah bertandang duduk
                  Aduhai malang Pak Kaduk.

      Pak Kaduk yang menang sorak,  kampung tergadai ini walau bagaimanapun dibawa oleh kucing belaannya ke tebing Sungai Perak dan disitulah Pak Kaduk ternampak saekor ikan tapah sebesar manusia yang terdampar di daratan. Pak Kaduk dikatakan membelah ikan itu dan didalam perut ikan tapah itu dia menjumpai lebih kurang secupak emas urai. Pak Kaduk telah menjahit semula perut ikan itu dengan menggunakan tali bembam. Pak Kaduk terus bersumpah bahawa keturunannya tidak akan dibenarkan menganiayai dan memakan ikan tapah sampai bila-bila, sebelum melepaskan semula ikan itu ke Sungai Perak." Mulai hari ini dan ke hadapan,aku tidak menyabung lagi, dan aku, anak isteri aku, cucu- cicit aku, piyat-piyut aku, empas-empas endaun, entahkan ia entahkan bukan tidak boleh memakan, menganiayai atau mengkhianati akan ikan tapah. Barang siapa melanggar sumpahanku, akan mendapat sakit gatal, melecur dan bengkak-bengkak, kiranya tahan badan tidak selamat hidupnya "
      Ikan tapah paling digeruni oleh pemancing ikan tawar kerana tapah didakwa boleh membesar sehingga lebih 70 kilogram serta mampu membaham monyet serta anak lembu sebagai makanannya.Tapah gergasi dikatakan banyak bersarang di Tasik Banding dan Tasik Pergau menggerunkan para pemancing untuk mencecahkan kaki ke air kerana bimbang menjadi santapan tapah gergasi.
    Episod seterusnya menyaksikan kaitan cerita ini dengan segolongan masyarakat Melayu, khususnya penduduk di Perak yang pantang makan ikan tapah. Mereka yang berketurunan Pak Kaduk akan terkena penyakit SEMALI yakni pecah-pecah kulit, berair dan terasa gatal-gatal sehingga ke tulang sekiranya makan atau tersentuh ikan tapah. Sehingga kini sumpahan itu dipercayai belum lagi  berakhir. Keturunan dan kaum kerabat Pak Kaduk yang kebanyakannya berada di Lambor Kiri, Lambor Kanan, Pulau Tiga dan Bota yang terletak di Perak Tengah berada dalam lingkungan sumpahan ikan tapah.



Misteri keturunan " ikan tapah" atau keturunan Pak Kaduk yang pantang makan ikan tapah masih belum terjawab sehingga ke hari ini..Hanya Allah jua Yang Maha Mengetahui.

                                                                         SUMBER GAMBAR:IMEJ GOOGLE

No comments:

Post a Comment