Friday 6 April 2012

Di sini kasihku tertumpah.

Mendengar irama lagu Melayu Asli dalam saluran Radio Klasik Nasional, menggamit kembali kenanganku kepada sebuah tempat aku bermukim buat seketika. Dalam perjalanan menuju ke puncak jaya, aku memerah seluruh keringat, berjalan di atas kerikil-kerikil tajam, menempuhi onak duri, berhujan dan berpanas demi merealisasikan sebuah cita.Sepanjang  mengatur langkah daripada Kolej Kedua aku perlu menuruni bukit, menyusuri tasik dan merentasi padang hijau. Sewaktu pergi, kebiasaannya dipenuhi dengan hilai dan tawa bersama sahabat. Semasa  pulang dengan ilmu yang sarat diminda dan dengan keperluan mendaki bukit aku mula menapak langkah demi langkah menuju kediaman usang di Blok C. Itulah rutin harianku semasa bergelar seorang mahasisiwi.
     Yang paling merindukan aku ialah keunikan pihak universiti mengingatkan waktu kepada kami yakni dentingan jam di Dewan Tunku Canselor (DTC) dengan iringan irama lagu Melayu Asli seperti Bunga Tanjung dan Seri Mersing .Rentak-rentaknya akan memenuhi ruang kosong seorang musafir seperti aku. Pada waktu malam kesayuan semakin terasa apabila jam di DTC mengalunkan iramanya yang bisa menjentik setiap hati dan merantai setiap rasa.
     Pada tahun 2001, peristiwa hitam pernah menjengah bangunan DTC apabila tempat yang menghimpunkan para mahasiswa menerima skrol kejayaan dan tempat cerminan pelbagai perasaan ini; bangga, sayu, sedih, kecewa dan gembira, telah hangus dijilat api. Pada hari ini dewan tersebut tersergam kembali di tempat asalnya.Tapi aku tidak pasti sama ada " kekasih yang tepat itu masih berbunyi dengan iringan irama lagu apabila tiba waktunya". Di kejauhan jarak masa ini seperti terdengar-dengar semula suara itu. dan untuk kesekian kali suara-suaramu, mengembalikan aku padamu seperti dahulu.
Yang pasti kasihku pernah tertumpah di menara gadingmu, Universiti Malaya.   .



                                                                                  SUMBER GAMBAR:IMEJ GOOGLE

No comments:

Post a Comment