Thursday 16 February 2012

imej yang tercalar

Membaca cerpen tulisan Saifulizan Yahaya " Pertemuan dengan Kitul @ Kitol " mengingatkan kembali aku dengan kisah Si Kitol dan Raja Mendeliar dalam buku Sejarah Melayu @ Sulalatus Salatin


Pelbagai gelaran yang diberi kepada dua watak ini; pemfitnah, pembelot negara dan sebagainya. Fitnah si Kitol dan Raja Mendeliar menjadi sinonim kepada punca kejatuhan kerajaan Melayu Melaka. Hal ini turut tercatat dalam buku sejarah Tingkatan Satu. Kesultanan Melayu Melaka yang suatu ketika dahulu sangat gemilang dalam pelbagai aspek boleh jatuh angkara pemimpin, pembesar dan masyarakat yang mula alpa. Si Kitol dan Mendeliar merupakan watak antagonis yang bersekongkol dengan Portugis untuk kepentingan peribadi sehingga membawa kepada kejatuhan Melaka pada tahun 1511.
      Tetapi seperti yang dikaryakan oleh saudara Saifulizan si Kitol berkata ,"bukan aku sahaja yang bersalah yang menyebabkan bangsa itu kalah. Kau harus tahu bahawa bangsa itu sendiri yang menjadi puncanya".
       Dalam pengkisahan itu pelbagai warna watak dapat dilihat. Si Kitol dan Raja Mendeliar bagaikan gunting dalam lipatan. Berbekalkan nafsu amarah selepas mendengar fitnah dan berkonsepkan "bersultan
di mata dan beraja dihati", Sultan Mahmud membunuh seluruh ahli keluarga Bendahara Seri Maharaja, Tun Mutahir kecuali Tun Fatimah dan Tun Hamzah.
        Hasad dengki,tamak haloba, fitnah memfitnah, persaingan kuasa dan bertindak secara membabi buta semuanya tercalit dalam sejarah ini.Kitol dan Mendeliar akan terus diingat sebagai perosak negara.Watak-watak lain pun ada sumbangan masing-masing dalam melenyapkan sejarah Kesultanan Melaka dan menjadikan Melaka hari ini negeri yang tidak beraja. Sesuatu yang tragis untuk diingati. Walaupun peristiwa ini berlaku beratus-ratus tahun dahulu tetapi watak ini tidak pernah mati  dan masih hidup dalam kalangan kita. Nasib negara kita ditangan kita dan hanya kita yang akan menentukannya. Kita tidak mahu nasib kita kelak bagai ayam dalam kepuk mati kelaparan dan bagai itik di dalam air mati kehausan.
       Sekiranya kita tidak belajar apa-apa daripada peristiwa sejarah, maka kita berpotensi untuk mengulanginya semula.

                                                                                                         SUMBER:IMEJ GOOGLE

No comments:

Post a Comment