Friday 17 February 2012

kehebatan cinta

Cinta kepada Allah dan Rasul adalah setinggi-tinggi cinta yang dimiliki manusia. Dalam kitab al-Quran pun ada menyebut "Orang-orang yang beriman itu sangat cinta kepada Allah" (al-Baqarah:165) Walau bagaimanapun seperti tulisan Hafizahril Hamid dalam catatannya "Kehebatan Cinta ....antara cinta dan air mata " cinta adalah anugerah Tuhan paling indah buat manusia. Sementelah manusia itu dijadikan berpasangan maka cinta tidak mengenal usia, pangkat dan harta kerana cinta juga nikmat hidup untuk dirasai ".
      Kebanyakan kisah cinta yang agung ini telah difilemkan dan menjadi tontonan ramai.Antaranya Laila Majnun, ( Laila dan Qais) Romeo dan Juliet, Pocahontas, Cleopatra dan lain-lain lagi. Kisah cinta mereka digarap dengan baik dan mampu membuat kita kagum akan kehebatan cinta mereka.
      Cinta tragis yang berakhir dengan kematian berlaku kepada Cleopatra dan Marc Anthony. Permusuhan dua keluarga besar Capulets dan Mountage telah mengorbankan Romeo dan Juliet.Cinta antara dua darjat masih megisi ruang masa kehidupan sehingga kini. Kisah Anarkali dan Putera Saleem pewaris takhta Empayer Mughal dan kisah Raja Edward dan Wallis Simpson mewakili cinta terlarang ini.
      Kekebalan cinta mereka memerlukan pengorbanan yang sangat besar. Raja Edward terpaksa melupakan takhta negara England yang akan diwarisinya kerana Wallis Simpson. Anarkali sanggup dikuburkan hidup-hidup demi menyelamatkan  putera yang dikasihinya daripada menerima hukuman mati kerana bercinta dengan orang yang tidak setaraf.
      Anarkali atau nama sebenarnya Nadira Begum diberi gelaran ini kerana kecantikannya, "like blossoming pomegranate" Legenda kisah cintanya dengan Putera Nuruddin Saleem yang akhirnya menjadi Maharaja yang terkenal dalam Empayer Mughal dengan gelaran Maharaja Jahangir akan diingat sebagai, "one of the most tragic love stories known to people". Lakaran cinta dalam empayer ini diteruskan dengan cinta Shah Jahan terhadap isterinya Mumtaz Mahal atau nama sebenarnya Arjumand Banu Begum sehingga melahirkan pembinaan monumen cinta Taj Mahal. Shah Jahan menzahirkan cinta mendalamnya dalam Taj Mahal yang mengambil masa 22 tahun untuk disiapkan dengan menggunakan 20,000 tenaga kerja.
                                                       
                                                                    Potret Anarkali


                              Keunikan Monumen Cinta Shah Jahan dan Mumtaz Mahal


                                                                         TAJ MAHAL




      Kekukuhan cinta Liu Guojiang dan Xu Chaoqin menjadikan mereka sangat tabah menghadapi keperitan hidup. Liu Guojiang memahat gunung yang mereka diami menjadi anak-anak tangga untuk memudahkan isterinya turun dan naik ke gunung. Tidak dapat kubayangkan kesukaran,kepayahan dan penderitaannya demi isteri tercinta. Anak-anak tangga ini telah dilestarikan oleh pemerintah China sebagai anak tangga cinta.
     Itulah kehebatan dan keajaiban cinta. Menyelongkar kisah cinta mereka(manusia) menjadikan perjalanan hidupku terhenti  seketika untuk mencium wangian cinta mereka dan menyebarkannya ke alam sejagat ini kerana kasih sayang bisa mengubah dunia yang semakin kejam rupanya.

                                            SUMBER GAMBAR:IMEJ GOOGLE

No comments:

Post a Comment